
PROTON WIRA GAYA USTAZ DENGAN ENJIN MIVEC + TURBO 466HP!
Kita mungkin nampak sesuatu benda itu tak berguna atau mustahil untuk direalisasikan. Tapi bagi geng haluan kiri dalam masyarakat modifikasi, mereka suka bereksperimentasi dan berani mencabar diri untuk melahirkan sesuatu yang lain dari norma kebanyakan. Kalau jadi, memang bonus. Kalau tak jadi, lain tahun bikin lagi.
Reaksi ‘acu-cuba-terai-test’ ini biasanya datang secara spontan, ilham, pengalaman atau inspirasi. Risiko yang perlu ditanggung mungkin besar, lebih-lebih lagi jika melibatkan pelaburan yang tinggi. Kerana itu, tidak ramai yang berani mencuba dan lebih selesa mengikut apa yang pernah dilakukan oleh kelompok massa.
BACA: CADANGAN MODIFIKASI PROTON WIRA
Ini kereta Saiful Azli, seorang hang kebun yang sangat berjaya di Pantai Timur. Ikutkan dia boleh jer beli kereta baru yang memang sedia power. Tapi kerana minat, beliau cuba melahirkan sesuatu yang jarang kita lihat di mana-mana. Rasanya cuma satu dalam seribu, mungkin juga juta. Kesungguhan beliau melangkau batas teknologi ini, merupakan sesuatu yang menarik untuk kita kongsi dan teliti.
Belah luar takyah citer pun takpe. Standard surau je pun, sampai gua sendiri teragak-agak nak angkatnya sebagai paparan utama. Tak boleh jual mandi toq…! Yang ada cuma penambahan beberapa komponen macam lip depan C99, grill Wira UK Spec, skirt sisi dan cermin belakang Lancer GSR, sunroof EVO, serta hood lipat EVO. Satu-satunya benda yang boleh menggerunkan pihak lawan adalah, jojolan intercooler dengan paip tanduk pada ruang bumpernya. Bukan jenis lepek yer!
Penggunaan rim femes Volk Racing TE37 bersama tayar Yokohama S-Drive, turut membantu mengubah penampilannya. Untuk lebih yakin, sektor pengendalian telah dimantapkan semula dengan set suspensi boleh laras dari HWL. Itu pun mengulor. Sementara kuasa hentian pulak datang dari set brek EVO, lengkap untuk depan dan belakang.
Walaupun sering dibawa ke kebun, ruang dalaman sentiasa diurus kemas dan teratur. Memang bersilatlah kalau masuk ngan boot kotor. Salinan komponen EVO III untuk dashboard dan tempat duduk dah jadi perkara wajib. Diikuti penggunaan stereng dari Nardi, 4 ketul meter tambahan Defi, pemasa enjin Pivot, serta paparan panel RalliArt pada meter utama.
Dah kalau luar standard, dalam biasa-biasa, di mana letaknya kekuatan kereta hang kebun nih? Kata Nujum Beringin Rendang, mana lagi kalau bukan di bahagian enjin. Asasnya menggunakan enjin 4G92 dengan sistem injap MIVEC. Tapi kerana ingin menduga akal, ia telah diangkat ke peringkat lebih tinggi, menerusi siri tingkat taraf yang sesuai.
Dalam situasi biasa, pengguna enjin ini akan menukar blok asal kepada blok 4G93 untuk menghasilkan enjin MIVEC bersesaran 1.8-liter. Tapi Saiful tak ke arah itu. Dia bukan hanya mengekalkan kedudukan blok asal, tapi turut menguatkan semula bahagian dalamannya. Antara komponen berprestasi yang digunakan termasuklah piston mampatan rendah Wiseco 82mm, conrod Duratec, serta galas enjin King Bearing. Bahagian kepala silinder yang sudah sedia pintar dikekalkan, kecuali proses port & polish untuk mengoptimumkan proses pembakaran.
BACA: WIRA RANGGI EVO III
Peningkatan seterusnya terarah kepada sistem pendesak. Bersimpuh di bawah manifold Tonnka itu adalah turbo Garrett GT30, bersama sebuah wastegate Turbosmart Ultragate 38. Proses sejukan dibantu sebuah intercooler AVS dengan paip sambungan kustom. Manakala boost yang tidak diperlukan akan dilepas keluar menerusi injap pelepas HKS Racing, mengikut input pada pengawal boost Turbosmart Dual Stage.
Berbanding penggunaan sebuah throttle body yang besar, Saiful cuba mencari kelainan dengan memasang kit ITB (4-throttle) dari enjin Toyata 4A-GE. Penggunaan komponen ini memerlukan bahagian manifold kemasukan dibina semula secara kustom. Memandangkan saiz runner ITB yang pendek, setiap silinder mampu menerima boost pada kadar lebih cepat, sekaligus memberi respon throttle lebih pantas dan mengurangkan masalah lag.
Proses penyampaian bahan api pulak dimulakan dengan dua buah pam petrol Walbro. Ia dihubungkan kepada sebuah tangki surge pada boot belakang, sebelum dibawa ke rel bahan api kustom. Selepas ditembak masuk oleh set injektor FIC berkapasiti 750cc, sebuah pelaras bahan api Sard berperanan mengawal tekanan dan balikan petrol berkenaan.
Dari sini, campuran yang terbentuk akan dinyalakan oleh koil MSD Ignition. Turut sama membantu, modul nyalaan MSD DIS-4 Plus yang akan memastikan kuasa cucuhan boleh berlaku dengan sempurna. Bagi mengawal setiap parameter enjin pada kadar yang optimum, ia kini ditala sepenuhnya menggunakan unit EMS Microtech LT10C. Siap letak kipas tu…
Orang tak buat, dia buat. Lepas kontang berhabis membina enjin ini, berapa banyak kuda-kuda yang berjaya Saiful tambat? Katanya sekitar 466hp @ 2.0-bar! Jahat sangat dah tuh, lagi-lagi untuk sesaran sekecik ini. Pun begitu, ia tidak dibuat untuk tujuan perlumbaan, sebaliknya hanya menguji dan bereksperimentasi…
-PAK MAUN-
GALERI