
PT HONDA PROSPECT MULA EKSPORT BRIO KE PASARAN ASEAN – VIETNAM JADI PENERIMA PERTAMA
PT Honda Prospect Motor (HPM), pengeluar kenderaan Honda di Indonesia semalam mengumumkan rancangan untuk mengeksport model Brio pada separuh pertama tahun 2019.
Brio yang dihasilkan di kilang Honda di Karawang, Jawa Barat bakal dieksport ke negara ASEAN, bermula dengan Vietnam. Perkembangan itu menjadikan Indonesia sebagai negara pertama yang mengilang dan mengeksport model Brio.
Sudah memasuki generasi kedua, Brio mula diperkenalkan kepada umum pada acara Gaikindo Indonesia International Auto Show 2018, Ogos lalu. Ia nyata menerima banyak penambahbaikan berbanding model terdahulu.
Model kompak itu dijana oleh enjin i–VTEC 1.2 liter berkuasa 90PS yang dipadankan dengan kotak gear manual atau CVT. Di pasaran Indonesia, Brio ditawarkan dalam lima varian pada harga berikut:
- Honda Brio Satya S M/T IDR139 juta (RM38,000)
- Honda Brio Satya E M/T IDR147.5 juta (RM40,400)
- Honda Brio Satya E CVT IDR162.5 juta (RM44,500)
- Honda Brio RS M/T IDR175 juta (RM47,930)
- Honda Brio RS CVT IDR190 juta (RM52,028)
Honda Brio dilancarkan pertama kali di Indonesia pada tahun 2012, sebelum diikuti oleh varian Brio Satya setahun kemudian sebagai sebuah kereta hijau kos rendah atau LCGC. Pada tahun 2016, Brio tampil dengan model facelift dan varian lebih sporty iaitu Brio RS.
Setakat Julai 2018, sebanyak 237,272 unit Brio berjaya dijual dan ia telah menerima lebih 32 anugerah di sana.
Brio disukai ramai kerana tampil dengan rekaan sporty, ruang kabin luas, seronok dipandu, jimat bahan api dan dilengkapi pelbagai sistem keselamatan terkini.
GALERI