Buletin

PUSAT 3S TOYOTA DI ALOR SETAR

UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota Motor) baru-baru ini melancarkan pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) serta pusat cat & badan di Alor Setar, Kedah. Ia bakal menampung jumlah kenderaan Toyota di wilayah Utara yang semakin meningkat.

Pusat berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi UMW Toyota Motor,  Tan Sri Asmat Kamaludin. Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Datuk Takashi Hibi dan Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki.

Setakat ini, sebanyak RM21.4 juta telah dilabur demi memenuhi keperluan pelanggan serta menepati Toyota Quality Experience (TQE).

toyota 3s. 1

Pusat 3S itu dibangunkan di atas tanah seluas  2.53 ekar dengan keluasan bangunan mencecah 58,000 kaki persegi. Ia dilengkapi ruang pameran yang memuatkan lima unit kenderaan, pusat servis berkapasiti 75 buah kenderaan sehari serta ruang menunggu yang selesa bersama internet percuma. Ia juga boleh mengendalikan kerja-kerja mengecat dan membaiki badan kenderaan sehingga tujuh unit sehari.

Ismet menegaskan bahawa Toyota kini memberikan perhatian kepada pelanggan supaya mereka dapat merasai sendiri apa sebenarnya TQE.

“Kami di Toyota komited untuk memberikan produk berkualiti tinggi serta menyediakan perkhidmatan terbaik. Ini bagi memberi kepuasan pelanggan, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Toyota selaku jenama kenderaan bukan nasional paling laris sejak dua dekad lalu,” jelas Ismet.

UMW Toyota Motor kini sudah memiliki 92 cawangan pusat jualan dan pengedar di seluruh negara.

toyota 3s 2

“Dalam tempoh beberapa tahun ini, jualan kenderaan Toyota adalah positif. Tahun lalu, 17,500 unit kenderaan Toyota terjual di Utara sahaja dengan 32 peratus daripadanya disumbang oleh pasaran negeri Kedah. Ini merupakan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding tahun 2011,” tambah Ismet.

Perkhidmatan lepas jualan juga mencatatkan kenaikan. Buktinya, sebanyak 183,000 kenderaan Toyota telah diservis (CPUS) pada tahun lalu di negeri-negeri Utara. 32 peratus daripadanya adalah kenderaan di Kedah, peningkatan sebanyak 13 peratus berbanding tahun 2011.

“UMW Toyota Motor sangat yakin bahawa industri automotif akan terus berkembang, walaupun dalam iklim pasaran yang begitu mencabar. Kami akan terus mengukuhkan rangkaian operasi untuk mencapai sasaran jualan 105,500 unit bagi kedua-dua jenama Toyota dan Lexus. Di samping mengekalkan perkongsian pasaran pada kadar 16.5 peratus. Bagi khidmat lepas jualan pula, kami akan teruskan usaha untuk mencapai 1.14 juta CPUS,” kata Ismet.

 

Tags
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button