
SKUTER MAXI HONDA PCX150
Saya dengar cerita, kalau hendak beli skuter ini, anda perlu menunggu dalam tempoh yang agak lama. Itulah penangan skuter terbaharu tawaran Boon Siew Honda, PCX 150.
Menjadi antara model skuter global Honda, PCX 150 nyata memberi impak yang signifikan di Eropah, Amerika dan Asia. Contoh paling dekat ialah di Thailand. Anda boleh dilihat jentera itu dengan mudah di sana.
“Di Boon Siew Honda, kami percaya bahawa pasti ada sebuah motosikal untuk semua orang, bagi setiap acara dan apa jua jenis gaya hidup. Dalam perniagaan yang melibatkan semua jenis motosikal, pasti ada ruang untuk model-model bertransmisi automatik yang mudah ditunggang dan diselenggara.
“Jadi, kami membawakan rangkaian produk sebegini ke satu tahap baru melalui model Spacy dan PCX, dua model bertransmisi automatik dengan ciri-ciri baru yang menarik,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Satoshi Okada pada majlis pelancarannya tidak lama dahulu.
Ada banyak perkara yang membezakan PCX150 dengan skuter-skuter lain. Skuter maxi ini sememangnya menawarkan tunggangan menyeronokkan terutama ketika menunggang dalam jarak yang jauh.
Lebih menarik lagi, PCX 150 hadir bersama pelbagai teknologi inovatif. Sekali gus menjadikannya skuter yang memang menarik perhatian. Jentera dengan reka bentuk luaran agak pelik ini mengaplikasikan Programmed Fuel Injection (PGM-FI) Honda.
PGM-FI bertanggungjawab meningkatkan tahap kecekapan proses pembakaran enjin dan prestasi penyejukan yang optimum. PCX 150 dikuasakan oleh unit enjin berkuasa 153cc SOHC empat lejang.
Enjin tersebut turut dilengkapi sistem penyejukan cecair dan enhanced Smart Power (eSP) yang direka untuk ketahanan dan jimat bahan api. Hasilnya, PCX 150 mampu bergerak sejauh 50.2 kilometer bagi setiap liter petrol! (berdasarkan kepada ujian Mod ECE40).
Selain eSP, penjimatan bahan api turut disumbang oleh sistem Idling Stop. Macam teknologi yang ada pada banyak kereta moden sekarang, sistem ini akan mematikan enjin secara automatik apabila ia melahu selepas tiga saat.
Idling Stop turut meliputi sistem penghidup ACG yang membolehkan enjin dihidupkan secara automatik sebaik sahaja pendikit minyak dipulas. ACG memastikan enjin dapat dihidupkan dengan lancar, selain menghilangkan bunyi bising yang biasanya timbul apabila gear penghidup enjin dimasukkan. Kombinasi kedua-dua teknologi tersebut mampu menjimatkan penggunaan bahan api sebanyak tujuh peratus.
Honda tidak berkompromi dengan aspek keselamatan. Jadi, bagi memastikan PCX 150 dapat diberhentikan dengan selamat dan efisien, sistem brek kombinasi (Combined Brake System, CBS) digunakan. CBS berfungsi menyeimbangkan tekanan brek hadapan dan belakang. Satu lagi ciri keselamatan yang ada pada PCX 150 ialah enjinnya akan dimatikan secara automatik apabila tongkat sisi diturunkan.
Untuk perjalanan lebih jauh, tempat duduk yang selesa dan ruang penyimpanan luas sememangnya amat penting. PCX 150 menyelesaikan masalah itu dengan tempat duduk luas bersama ciri posisi tunggangan Sit-in.
Terdapat satu kotak konsol untuk meletakkan barangan peribadi seperti cermin mata hitam dan sarung tangan. Ruang penyimpanan bersaiz XL berkapasiti 25 liter yang boleh menempatkan sebuah topi keledar muka penuh turut disediakan.
Skuter maxi ini hadir dalam dua varian. Varian Deluxe tampil dengan warna putih merah ditawarkan pada harga RM10,888 seunit. Sementara varian standard boleh didapati dalam warna hitam dan kelabu pada harga RM10,688 sebuah.
Kedua-dua varian ini ditawarkan bersama insurans penunggang tunggal komprehensif dan jaminan selama dua tahun atau perbatuan sejauh 20,000km (yang mana tiba dahulu).
[hr]
Galeri























