
RASMI: SUZUKI DR-Z4S, DR-Z4SM TIBA DI MALAYSIA – RM39,888
Suzuki Malaysia dengan rasminya melancarkan DR-Z4S dan DR-Z4SM untuk pasaran tempatan masing-masing dengan harga jualan RM39,888 bagi 50 pelanggan pertama.
Berbanding generasi sebelumnya yang telah wujud sejak tahun 2000, DR-Z4S dan DR-Z4SM ini menawarkan segala ciri dan kelengkapan baharu.

Pertamanya, Suzuki DR-Z4S dan DR-Z4SM telah dibekalkan dengan enjin serba baharu yang merangkumi platform satu silinder 398cc 4-lejang DOHC dengan suntikan bahan api yang berupaya menjana 38hp dan 37Nm. Lebih penting, enjin baharu ini mencapai emisi Euro 5+.
Meskipun bernadikan enjin baharu namun nostalgia DRZ 400 masih diteruskan dengan penggunaan transmisi manual 5-kelajuan yang dibantu klac ‘assist & slipper’ yang dinamakan sebagai Suzuki Clutch Assist System (SCAS).

Suzuki juga melengkapkan DR-Z4 2025 ini dengan pakej elektronik terkini dengan fungsi seperti ‘ride-by-wire’ yang menawarkan ciri seperti tiga mod menunggang; A, B dan C serta sistem ‘traction control’ yang menawarkan tiga tetapan; 1,2 dan Gravel).
ABS dwi-saluran juga didatangkan secara standard dan boleh ditutup untuk roda belakang sahaja atau ditutup terus (depan dan belakang). Perincian lain ditawarkan termasuk panel meter digital LCD ringkas.

Dalam pada itu, perbezaan utama antara DR-Z4S dan DR-Z4SM adalah dibahagian tayar dengan varian enduro mendapat rim 21-inci depan dan 18-inci belakang sementara varian supermoto hadir dengan unit 17-inci depan dan belakang. Kedua-dua varian menawarkan rim jenis spoked (lidi).
Sementara itu, pakej suspensi terdiri dari fork USD dari KYB dan monoshock di belakang dengan pelarasan ‘compression’ dan ‘rebound’. Bagaimanapun jarak gerak DR-Z4S lebih panjang dengan 280mm depan dan 296mm belakang sementara DR-Z4SM menawarkan 260mm depan dan 277mm belakang.
Antara perincian lain ditawarkan termasuk:
- tangki bahan api berkapasiti 8.7L
- berat 151kg (DR-Z4S), 154kg (DR-Z4SM)
- lampu nyalaan LED







