Buletin

RAVY CAMPER VAN PALING KECIL DI DUNIA?

Pakar motorhome Korea Selatan, Daon TNT memutuskan berkhemah dengan kenderaan kecil merupakan satu keperluan dan membangunkan camper van dikenali sebagai Ravy.

Camper van comel ini dibangunkan berdasarkan kenderaan kecil yang sesuai digunakan di bandar dikenali sebagai Kia Ray.

Model Ravy ini hanya memiliki ukuran panjang 141.5 inci sahaja menjadikannya 23 inci lebih pendek berbanding Kia Soul dan kira-kira 10 inci lebih pendek dibandingkan Mini Cooper hatchback dua pintu.

Mungkin ia menimbulkan persoalan sama ada kenderaan ini dapat berfungsi sebagai camper van.

Jangan terkejut kerana Daon TNT berjaya membangunkan Ravy dengan dilengkapi dapur mini, tempat tidur, bekalan elektrik dan ruang penyimpanan barangan.

Apabila tempat duduk hadapan dilipat, ia akan memberikan ruangan luas dijadikan sebagai tempat tidur.

Bahkan, model terbaharu ini didatangkan dengan bumbung pop-up dan tilam untuk pengguna memaksimumkan ruang kenderaan.

 Secara teori, ia boleh menyediakan tempat tidur untuk empat orang. Ia sesuatu yang menakjubkan jika mengambil kira saiz kenderaan comel ini.

 Selain ciri-ciri berkenaan, camper mikro ini hadir dengan lampu LED dalaman, outlet pemanas dan tempat penyimpanan bateri.

Biarpun, ia kecil tetapi mempunyai ketinggian 66.9 inci menjadikannya lebih tinggi berbanding kenderaan yang terdapat di bandar.

Apabila tempat duduk hadapan dalam kedudukan normal, ruang belakang menawarkan suasana sofa memudahkan pengguna menikmati keindahan alam.

Ravy dikatakan mampu menjana kuasa 75 hp dengan mendapat khidmat enjin 1.0 liter. – carscoops

Google ads
Back to top button