Buletin

TEMPAHAN TOYOTA YARIS FACELIFT 2020 KINI DIBUKA. ADA TSS, SKRIN SENTUH 7-INCI

UMW Toyota Motor hari ini mengumumkan bahawa tempahan untuk Yaris facelift sudah dibuka. Jika berminat, anda boleh menempah hatchbak bergaya itu secara dalam talian atau di mana-mana bilik pameran sah Toyota di seluruh negara. 

Yaris facelift tampil dengan rekaan bampar hadapan baharu yang turut dipasang dengan aerokit dan gril berbeza. Lampu utama triple bezel ialah LED sepenuhnya bersama lampu nyalaan siang (DRL).

Rekaan itu tidak jauh berbeza dengan lampu pad model Corolla dan Camry. Lampu utama itu dilengkapi fungsi “follow-me home” untuk keselamatan dan kemudahan pengguna. 

Yaris 2020 akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu J, E dan G. Jentera itu diperkenalkan sebagai model CKD pada April 2019. Sejak itu, ia menjadi pilihan No. 1 bagi kenderaan hatchback segmen bukan nasional. 

Apa yang paling menarik ialah Yaris kini dilengkapi ciri keselamatan Toyota Safety Sense (TSS). Ini termasuklah sistem pra-perlanggaran (PCS) yang membolehkan sistem kamera dan radar bersepadunya membantu mengurangkan risiko perlanggaran dengan kereta di depan. 

Amaran penukaran lorong (LDA) pula mengelak kenderaan daripada menukar lorong secara tidak sengaja melalui peringatan melalui paparan pelbagai info dan amaran bunyi. Ciri berkenaan berfungsi dalam kelajuan 50 km/j ke atas dan boleh dinyah-aktif jika mahu. 

Selain itu, peninjau pandangan panoramik 360-darjah 3D pula memberikan penglihatan sekeliling kenderaan untuk memudahkan pemandu.

Ciri-ciri itu menjadi pelengkap kepada sistem keselamatan sedia ada seperti kawalan kestabilan kenderaan (VSC), kawalan cengkaman (TRC), kawalan bantuan mula mendaki (HAC), tinjauan titik buta dengan amaran lintasan trafik di belakang (RCTA), sistem brek anti-kunci (ABS), agihan daya brek elektronik (EBD), bantuan brek (BA) serta perakam video digital di depan dan belakang (DVR). 

Yaris facelift juga menerima skrin sentuh bersaiz 7-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem telematik kenderaan juga didatangkan secara standard (bagi varian G & E) sebagai sebahagian langkah lanjutan syarikat terhadap capaian sambungan di bawah jenama 360-T. 

Platinum White Pearl menjadi warna baru yang ditawarkan untuk Yaris. Pelanggan bagaimanapun masih boleh memilih dua warna sedia ada iaitu merah dan perak.  

Hatchback tersebut didatangkan dengan jaminan komprehensif lima-tahun tanpa had perbatuan. Harga Yaris facelift dianggarkan sekitar RM72,000 hingga RM85,000 seunit (di atas jalan, tidak termasuk insurans).

GALERI

Google ads
Back to top button