Artikel Pilihan

REKAAN PINTU KERETA YANG DIGUNAKAN PADA HARI INI

Pintu merupakan salah satu komponen automotif yang jarang diberi perhatian oleh peminat kereta. Apa yang penting setiap kali pintu digunakan, ia mesti boleh dibuka dengan selamat, ditutup semula dengan kemas dan kedap udara. Tapi tahukah anda sebenarnya ada banyak pitu kereta yang sudah digunakan dan masih digunakan pada hari ini.

Antara rekaan pintu yang digunakan pada hari ini termasuklah

1. Pintu konvensional- atau pintu biasa yang diperosikan dengan bantuan engsel dan mekanisma kunci. Rekaan sebegini memang banyak digunakan baik dari kereta kompak, sedan, SUV, crossover dan juga MPV kompak. Rekaan pintu ini ringkas dan mudah dihasilkan menjadikan pintu ini pilihan utama pembuat kereta.

Untuk membuka pintu pemandu perlu menarik tombol dan pintu akan terbuka luas ke arah luar pada sudut tertentu yang telah ditetapkan oleh pengeluar. Disebabkan operasi pintu ini besar, maka kelemahan pintu ini ialah ia memerlukan ruang untuk terbuka luas menjadikannya kurang ideal bagi kawasan sempit

2. Pintu gelongsor – atau juga disebut sebagai sliding door banyak digunakan bagi kenderaan yang dikhaskan untuk membawa penumpang yang ramai seperti MPV dan juga van. Apabila dibuka, pintu akan ditolak ke arah sisi menjadikannya sesuai digunakan di kawasan yang sempit.

Sesetengah pengeluar memasang motor elektrik dengan suis kawalan jauh bagi membenarkan pintu ini terbuka dengan kawalan pemandu. Tanpa bantuan motor elektrik, pintu ini agak berat dan memerlukan tenaga yang kuat untuk membuka dan menutupnya dengan menggunakan sebelah tangan. Pintu ini juga menjadi pilihan bagi MPV kompak buatan negara Jepun

3. Suicide door – sama seperti pintu konvensional tapi engsel pintu ini dipasang di bahagian belakang dengan rekaan sebegini berasal dari pedati kuda. Bagi kereta mewah, pintu ini biasa dibuka oleh pemandu yang akan bergerak menjauhi boss ke arah belakang bagi membenarkan bos mereka keluar dengan senang

Tapi ada juga pintu ini digunakan pada kereta sport seperti Mazda RX-8 dan juga Mazda MX-30 dimana rekaan pintu ini digabungkan antara pintu depan konvensional dan pintu belakang jenis suicide. Rekaan sebegini tidak memerlukan tiang B yang membolehkan ruang kemasukan menjadi lebih besar dan luas

4. Gullwing door- dinamakan sempena nama seekor burung kerana apabila dibuka pintu kereta ini terkepak ke atas bagaikan burung yang sedang terbang. Rekaan ini dipopularkan oleh kereta sport klasik Mercedes Benz 300SL semenjak tahun 1954 lagi.

Pintu ini digunakan juga pada Tesla Model X iaitu sebuah SUV 7 tempat duduk untuk kemasukan penumpang manakala pintu depan menggunakan pintu konvensional biasa. Masalahnya jika SUV ini diparkir di ruang bawah tanah ataupun di kawasan sempit, maka ia sukar untuk dibuka.

5. Butterfly door- apabila dibuka, pintu ini akan terangkat ke atas secara keseluruhan dengan engsel dipasang pada tiang A dan memberikan ruang kemasukan yang besar. Ia pertama kali digunakan pada model Alfa Romeo 33 Stradale bagi tujuan perlumbaan kerana rekaan sebegini membenarkan bentuk kereta yang lebih aerodinamik. Contoh lain supercar hibrid BMW i8

6. Scissor door – pintu akan terangkat ke atas tapi engsel pintu dipasang dibahagian bawah bukannya pada tiang A. Keadaan ini akan menyebabkan pintu terangkat ke atas membenarkan proses kemasukan di ruang yang sempit dengan mudah

Tapi rekaan sebegini sebenarnya mahal dan biasa digunakan untuk supercar sahaja. Dalam keadaan kemalangan jatuh tergolek dog (rollover) , pintu ini sukar dibuka melainkan ia dipasang dengan peranti letupan khas bagi membenarkan anggota keselamatan menyelamatkan pemandu

7. Canopy Door – rekaan ini sebenarnya diilhamkan dari penggunaan kanopi pesawat pejuang dimana bahagian bumbung kereta bertindak sebagai pintu dan mesti dibuka ke arah atas. Engsel akan dipasang di bahagian depan ataupun belakang bagi membenarkan kanopi dibuka menjadikan kos penghasilan sangat mahal dan susah digunakan

Maka rekaan pintu ini hanya digunakan pada kereta konsep supercar bagi menimbulkan wow factor pada pengunjung. Antara model konsep yang pernah menggunakan pintu ini termasuklah Saab Aero X, Renault Trezor dan Lamborghini Egoista.

8. Pintu dalam pintu- ya bunyi macam pelik tapi rekaan ini sebenarnya wujud dan dipopularkan oleh MPV segmen C buatan Jepun seperti Nissan Serena dan juga Honda Step WGN. Bagi Nissan Serena, pintu belakang yang memberikan akses kepada ruang kargo boleh dibuka dengan 2 cara. Cara biasa ialah membuka pintu besar yang sesuai digunakan dikawasan lapang

Satu lagi pintu kecil boleh dibuka jika Serena diparkir di kawasan sempit bagi membolehkan pemandu menyusun beg atau mengambil barangan tanpa perlu membuka pintu besar. Kaedah ini hampir sama dengan Honda Step WGN, namun pintu kecil boleh dibuka sama seperti pintu rumah dari arah sisi.

Kaedah ini membolehkan penumpang keluar atau pengguna meletak dan mengambil barangan di kawasan yang sempit tanpa perlu membuka pintu belakang yang besar.

Google ads
"
"
Back to top button