Buletin

TESLA BENARKAN PENUMPANG DEPAN MAIN GAME KETIKA BERGERAK

Sejumlah besar kenderaan berjenama Tesla dilaporkan mula membenarkan penumpang baris depan untuk bermain permainan video menerusi skrin infotainmen tengah ketika sedang bergerak.

Menurut laporan daripada The New York Times, kemaskini terbaharu terhadap sistem itu kini membenarkan permainan seperti Sky Force Reloaded, The Battle of Polytopia dan Solitaire dimainkan ketika kereta sedang dipandu.

Sesetengah permainan seperti Solitaire mula memaparkan amaran yang berbunyi:
“Solitaire is a game for everyone, but playing when the car in motion is only for passengers”

Berita ini ternyata mengejutkan ramai pihak, memandangkan data daripada agensi National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA) mendedahkan lebih 3,000 orang maut di dalam kemalangan melibatkan pemanduan terganggu di Amerika Syarikat pada tahun 2019.

Sesetengah pengeluar seperti Stellantis mula membenarkan kandungan multimedia dimainkan menerusi skrin infotainmen tengah, namun mengunci keupayaan tersebut setelah sistem mengesan kenderaan sedang bergerak.

Biarpun Tesla sudah mempunyai bantuan pemandu termaju seperti Autopilot dan Full Self Driving (beta), ia bukanlah pengganti kepada peranan sebenar pemandu di sebalik stereng, malah sudah beberapa laporan kemalangan muncul di laman maya berkaitan kegagalan sistem tersebut berfungsi di sesetengah keadaan.

Sumber: The New York Times

Google ads
Back to top button