Artikel Pilihan

REKOD PERBATUAN PALING TINGGI DI DUNIA DIPEGANG OLEH VOLVO – BIAR BETUL NI

Kebanyakan kereta dimiliki oleh seseorang selama beberapa tahun sebelum digantikan dengan model yang lebih baharu. Ada yang terpaksa dilupuskan sebelum masanya dan ada juga yang dileraikan kerana pemilik tidak mampu lagi menanggung kos membaikinya. Namun kadang-kadang ada individu yang mengambil kereta sebagai teman hidup mereka di sepanjang kehidupan. Kereta-kereta inilah yang biasanya mencatat perbatuan paling tinggi dalam sejarah.

Kereta-kereta dengan perbatuan tinggi ini biasanya akan menjadi popular, mencipta rekod dan mungkin berakhir di muzium ataupun menjadi bahan kempen pengeluar kenderaan. Ada juga yang kekal bersama pemiliknya sehingga ke akhir hayat seperti Volvo P1800S milik Irv Gordon ini. Ia telah mencatatkan perbatuan 3.2 juta baru (bersamaan dengan 5.15 juta kilometer)! Ia dibeli baharu dan memegang rekod sebagai kereta dengan perbatuan tertinggi di dunia.

P1800S ialah teman hidup Irv Gordon tapi ia bukan kereta pertama beliau. Beliau membeli Volvo yang bernilai sama dengan setahun gaji pada ketika itu selepas kecewa dengan kereta beliau sebelum itu. Sebelum ini beliau memiliki beberapa model Chevrolet yang sentiasa bermasalah. Terakhir ialah Chevrolet Corvair yang menurut beliau mengalami kerosakan sejurus dibawa pulang dari bilik pameran. Naya.

Gordon memilih untuk membuka buku baharu bersama Volvo dan ternyata ia pilihan yang tepat. Selepas menerima kereta pada hari Jumaat beliau kembali ke bilik pameran pada hari Isnin berikutnya. Bukan kerana kereta tersebut bermasalah tapi untuk servis pertama selepas memandunya sejauh 1,500 batu hanya dalam masa 2 hari!

Pelbagai kenangan manis dicatat Gordon bersama kereta ini. Beliau juga turut berkolaborasi dengan Volvo sebagai duta jenama dan berpeluang mengelilingi dunia. Volvo turut menghadiahkan beliau sebuah 780 baharu bila berjaya mencatat 1 juta batu perbatuan. P1800S itu kekal bersama Gordon sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 2018 dengan jarak perbatuan yang menyamai perjalanan ulang alik bumi ke bulan sebanyak tujuh kali!

Macam mana cara Gordon menjaganya Volvo miliknya? Selama tempoh pemilikan 52 tahun, Gordon memang menjaganya dengan teliti. Selain mematuhi jadual penyelenggaraan berkala pengeluar, Gordon juga hanya membenarkan beliau seorang sahaja memandu Volvo tersebut. Malah beliau juga tidak sesekali makan dan minum semasa berada dalam kereta.

Enjin P1800S in telah dibina semula sebanyak dua kali dalam tempoh 52 tahun. Bukan kerana kerosakan tapi lebih kepada langkah pencegahan. 520 palam pencucuh dan 928 unit penapis minyak telah dihabiskan Gordon untuk penjagaan kereta ini.

Walaupuan komponen-komponen yang haus telah ditukar ganti, sistem transmisi kereta ini masih lagi original dari kilang! Nampak tak apa hasilnya kalau sesebuah kereta dijaga dengan teliti.

Jadi lepas ni tak payah nak kondem sangat mana-mana model atau jenama kereta kalau korang jaga kereta pun macam nak tak nak je. Ini Volvo klasik baii tapi boleh bertahan sampai lebih 5 juta kilometer perbatuan.

Google ads
Back to top button