Buletin

RENAULT CAPTUR+ EDISI KHAS – RM113.3K, LEBIH BANYAK CIRI TAMBAHAN

Crossover terlaris di Eropah yang diperkenalkan oleh TC Euro Cars (TCEC), Renault Captur kini telah dipertingkatkan dengan enjin yang mematuhi piawaian Euro 6.

Captur dilengkapi enjin TCe 120 dengan pengecas turbo yang menawarkan pecutan dan prestasi seperti enjin 1.8L aspirasi biasa.

Dipadankan dengan transmisi Efficient Dual Clutch (EDC) enam kelajuan, enjin tersebut mampu menjana tork puncak lebih tinggi iaitu 205Nm pada rpm serendah 2,000rpm.

Pada masa sama mencatat penjimatan bahan api sehingga 5.9L/100km (method ujian NEDC).

Fungsi start-stop pada enjin baru itu membantu memati dan menghidupkan enjin pembakaran dalaman untuk mengurangkan tempoh enjin melahu, sekali gus merendahkan tahap emisi.

Sistem infohibur bersaiz 7 inci telah dinaik taraf dengan fungsi navigasi serta ketersambungan internet secara offline dan online.

Sistem infohibur itu boleh menyokong aplikasi kegemaran anda seperti JOOX dan Waze apabila disambungkan dengan hotspot internet.

Captur+, Edisi Khas baharu

TCEC juga melancarkan model edisi khas Renault Captur+ yang hadir dengan beberapa penambahbaikan.  

Captur+ tampil dengan kemasan dua tona pada bampar hadapan dan belakang, sekali gus menyerlahkan lagi warna warna badan dua tona yang tersendiri. 

Untuk meningkatkan lagi kemudahan, pintu belakang kuasa bebas tangan yang pertama dalam kelasnya juga telah ditambah.

Jadi, pintu boleh dibuka dengan hanya menggerakkan kaki di bahagian bawah bampar belakang ketika tangan anda penuh dengan barang-barang. Ketinggian bukaan pintu boleh diprogram mengikut keperluan individu.

Eksklusiviti Renault Captur+ ditingkatkan lagi pada bahagian kabin. Untuk memberi lebih keselamatan, ia kini dilengkapi perakam video pemanduan (DVR). DVR itu mampu merakam sehingga 136 minit footage dalam format resolusi tinggi 1080p dengan kad microSD 16GB.

Ia hadir dengan fungsi pengesan impak dan menawarkan prestasi yang bagus dalam keadaan lampu yang malap.

DVR itu juga didatangkan dengan aplikasi telefon pintar, jadi pelanggan boleh mendapatkan semula video mereka dengan mudah.  

Renault Captur+ didatangkan dengan kombinasi berwarna coklat pada tempat duduk, panel pintu dan perehat tangan. Perehat tangan itu juga menawarkan ruang penyimpanan barang tambahan, selain boleh diubah suai untuk lebih keselesaan. 

Pemijak kaki dengan tulisan ‘Captur’ telah ditambah pada sil pintu hadapan dan belakang untuk melindungi bahagian bawah pintu. Manakala pelindung ruang masuk kargo mengelakkan bampar daripada tercalar apabila mengangkut atau mengeluarkan barang.

Tawaran pengalaman Perancis yang menarik dengan percutian berdua ke Paris

Bagi meraikan asal-usul Renault dari Perancis, TCEC turut mengadakan kempen jualan ‘The French Experience’ yang berakhir pada 30 Mei 2019.

Renault Captur+ ditawarkan pada harga RM113,300 manakala Renault Captur pula berharga RM107,980 yang turut layak untuk kempen jualan ‘French Experience’. Promosi tawaran percutian untuk dua orang ke Paris terbuka kepada sesiapa sahaja yang membeli sebuah Renault sepanjang tempoh kempen tersebut.

Semua harga kenderaan yang dinyatakan adalah di atas jalan termasuk SST, tanpa insurans untuk Semenanjung Malaysia dan pendaftaran peribadi sahaja.

Google ads
Back to top button