
RENAULT MEGANE GT – INSPIRASI JENTERA MEGANE R.S.
Renault Megane GT baharu kini sedang dipamerkan di Malaysia Autoshow 2017 yang berlangsung dari 9-12 November 2017.
Dicipta dengan kerjasama Renault Sport Technologies, ia menjadi wakil penawaran kereta jalanan prestasi pertengahan kepada model prestasi tinggi dan ikonik Megane R.S.
Daya tarikan tersendiri Renault Megane GT baharu datang daripada paduan serasi kepakaran serta teknologi daripada Renault Sport. Ia kemudian digabungkan dengan penampilan menonjol serta bahagian dalaman sporty bersama sentuhan khas Renault Sport.
Jentera ini dilengkapi teknologi 4CONTROL – pertama bagi segmen C dan digabung dengan talaan suspensi yang telah ditambah baik.
Megane GT menggunakan enjin petrol Energy TCe 205 yang dipadankan bersama transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan EDC.
Ia mampu menjana kuasa maksimum 205 PS pada 6,000rpm dan tork puncak 280 Nm dari serendah 2,40 rpm. Kuasa ini membolehkan Megane GT memecut 0-100 km/j dalam masa 7.1 saat dengan penggunaan bahan api sekitar 6L/100km.
Mengambil inspirasi daripada Megane R.S., Megane GT baharu menampilkan casis khas. Melengkapkan pakej casis ialah set kalibrasi khas untuk penyerap hentak, spring, ESP, brek dan sebagainya.
Ia turut menggunakan teknologi baharu yang dibangunkan khas oleh Renault Sport iaitu Multi Change Down yang membolehkan penurunan gear pantas, serta Launch Control untuk pecutan dari pegun yang lebih mantap.
Pada bahagian hadapan, lampu utama LED penuh Pure Vision dengan lampu siang (DRL) berbentuk C. Lampu LED di belakang pula menghasilkan pencahayaan sepanjang masa.
Penggunaan teknologi Edge Light dapat memberikan kesan khas seperti jalur berus 3D. Gaya dinamik hatchback disempurnakan lagi dengan lencana GT pada gril hadapan, belakang dan rim aloi 17 inci.
Ruang kabin
Papan pemuka dipasang dengan panel instrumen TFT warna bersaiz tujuh inci. Selain skrin sentuh R-LINK 2 tujuh inci yang mudah dicapai dan dioperasi.
Megane GT juga dilengkapi teknologi MULTI-SENSE yang membolehkan pemandu melaras pedal minyak, tindak balas enjin, penukaran gear dan lampu kabin
Ciri ini boleh diakses melalui fungsi R-LINK 2 yang memberikan akses terus kepada empat mod pemanduan berbeza – Sport, Neutral, Comfort dan Perso, dengan pilihan lampu suasana merah, sephia, biru dan ungu.
Turut disediakan adalah butang R.S. Drive, yang mengaktifkan Sport Mode untuk pemanduan lebih mengujakan.