Buletin

LEWIS HAMILTON DIDAKWA ELAK BAYAR CUKAI BERJUTA DOLAR – SUSAH JUGA JADI JUTAWAN

Lewis Hamilton baru sahaja memenangi kejuaraan F1 buat kali keempat tetapi telah dikaitkan dengan skandal cukai berjumlah jutaan dolar dalam pembelian jet peribadi beliau.

Menurut laporan Paradise Papers yang merupakan sebuah kumpulan yang bertanggungjawab menyiasat rahsia dan cara yang digunakan oleh para selebriti, ahli-ahli politik dan jutawan mengelak dari membayar cukai. Laporan tersebut menyebut Hamilton dan penasihat-penasihat kewangan beliau menggunakan cara yang meragukan dalam mengelak dari membayar cukai berjumlah USD21.7 juta untuk jet peribadi beliau.

Laporan dari BBC menyebut, pesawat Bombardier Challenger 605 itu telah diimport ke Isle of Man pada tahun 2013 dan merupakan sebahagian daripada perjanjian sewa beli yang telah diuruskan oleh penasihat-penasihat kewangan Hamilton. Ia membolehkan juara dunia itu menerima bayaran balik cukai sebanyak USD4.3 juta! (Pak Amid dapat bayaran balik income-tax RM1500 pun dah buat balik kuang dalam studio).

Walaupun bunyinya sah tetapi ia tidak menepati peraturan EU dan UK tentang kaedah bayaran balik cukai. Ini kerana bayaran balik hanya boleh dilakukan jika jet tersebut digunakan untuk kegunaan perniagaan.

Hamilton dilaporkan membeli pesawat tersebut untuk kegunaan perniagaan tetapi laporan dari BBC menyebut mereka pernah melihat dokumen yang mengatakan beliau merancang untuk menggunakannya untuk kegunaan peribadi walaupun bukan setiap masa.

Para penyiasat juga mendapati Hamilton kerap memuatnaik sejumlah gambar pesawat tersebut ke media sosial bila ia digunakan untuk bercuti dan membuat perjalanan peribadi.

BACA: FERRARI UGUT TINGGALKAN F1 – TIDAK PUAS HATI DENGAN PERATURAN BARU

Bila hal ini ditanyakan kepada para peguam Hamilton, mereka menafikannya dan menyatakan adalah tidak benar untuk mengatakan Hamilton tidak membayar VAT (value added tax) semasa pembelian dibuat.

Kenyataan dikeluarkan bagi pihak Hamilton menyatakan yang sebagai ahli sukan bertaraf dunia yang sudah membayar begitu banyak cukai di pelbagai negara, Hamilton bergantung kepada sekumpulan penasihat kewangan yang menguruskan urusan beliau. Tiada apa yang perlu dirisaukan dan hal ini akan ditangani oleh pasukan peguam mereka dengan sebaik-baiknya.

Inilah untung rugi menjadi orang terkenal. Dalam kebaikan ada juga keburukan, hadam sajalah kan?

Google ads
Back to top button