PEMANDU CX-5 HIMPIT WARGA EMAS HINGGA TERJATUH DIBURU POLIS
Seorang pemilik kereta jenis Mazda CX-5 sedang dicari gara-gara melanggar lari seorang penunggang motosikal sehingga jatuh dalam kejadian pada tengah hari semalam.
Menerusi video yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook, Fariha Abd. Manaff kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 12.47 tengah hari.
Di dalam video tersebut, kelihatan SUV Mazda itu secara tiba-tiba menghimpit penunggang motosikal yang berada di kiri sehingga terjatuh.
Walau bagaimanapun, pemilik kereta tersebut dilihat tidak berhenti malah meneruskan perjalanannya. Lokasi kejadian spesifik tidak dapat dipastikan di mana namun dipercayai berlaku di Kuala Lumpur.
Difahamkan laporan polis telah dibuat oleh mangsa dengan berpandukan bukti kamera papan pemuka kereta saksi yang melihat kemalangan tersebut.
“Salam semua, kalau korang kenal pemilik kereta ni sila beritahu. Dia langgar lari ayah kawan kami tengah hari tadi.
“Tolong sampai-sampaikan ya moga dipermudahkan urusan korang. Dah dalam perjalanan buat laporan polis juga. Terima kasih kepada pemilik kamera papan pemuka ini,” tulis pengguna Facebook itu.
Tambahnya lagi, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubunginya di talian 018-2521822.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang mensyaki pemandu tersebut mengantuk atau mabuk kerana melihat kereta tersebut perlahan-lahan menghimpit ke bahagian kiri.
“Macam sengaja langgar, motosikal itu elok sahaja dekat tepi,” komen Penny. “Cara dia masuk belah kiri itu memang macam ada niat,” komen Mona. “Sama ada mengantuk atau mabuk.. harap polis dapat tangkap segera,” komen Normah. – KOSMO! ONLINE