
RIDER PATAH BALIK, MINTA MAAF KEPADA ABANG LORI SEBAB TUNGGANG SECARA MERBAHAYA
Tular sebuah video di TikTok apabila seorang penunggang motosikal yang juga penghantar makanan sanggup berpatah balik hanya untuk meminta maaf selepas ‘menyelit’ hingga hampir menyebabkan kemalangan.
Video tersebut dimuat naik oleh pemandu lori, @izsmile.yusof, memaparkan penghantar makanan berada di lorong kiri untuk menukar lorong menuju arah bulatan sementara lori pula masuk ke lorong kanan.
Tunggangan merbahaya itu menyebabkan pemandu lori begitu marah lalu menjerit.

Menerusi rakaman dashcam itu, penunggang motosikal terbabit bagaimanapun berpatah balik dan meminta maaf kepada pemandu tersebut.
“Saya minta maaf. Saya ingatkan abang nak masuk lorong kanan,” kata penunggang motosikal.
“Saya betul-betul ingatkan abang nak pusing,” tambahnya.

Permohonan maaf dari penunggang menyebabkan pemandu lori ‘lembut hati’ sambil memberi nasihat untuk berhati-hati.
“Tak kira macam mana pun, jangan duduk belah kiri lori. Tolonglah, merayu sangat. Nak cepat macam mana pun, janganlah potong lori dari belah kiri,” ujarnya.
Video berkenaan mendapat pelbagai reaksi netizen dan sehingga artikel ini disiarkan, ia sudah melebihi 900 ribu tontonan.
“Dua-dua aku tabik. Seorang berani mengaku salah, seorang lagi mengawal emosi,” komen netizen.
Komen lain, “walaupun rasa marah, tapi bila pesalah datang mengaku salah minta maaf, auto turun tahap kemarahan,”
Dalam pada itu, netizen juga berharap pengguna jalan raya lain turut mendengar nasihat pemandu lori terbabit. – The Rakyat Post