Artikel Pilihan

RIWAYAT HIDUP – AKU SEBUAH PROTON SUPRIMA S

Salam Sejahtera buat semua pembaca Mekanika yang budiman da juga berakal. Barangkali rakyat Malaysia sememangnya mengenali aku. Walau pun rupa hadapan aku identikal sekali dengan abang kembar ku, Proton Preve. Dan aku adalah Proton Suprima S.

BACA : PROTON SUPRIMA S STANDARD

BACA : PROTON SUPRIMA S SUPER PREMIUM

Walau pun bapa aku Proton ketika itu tidak mahu mengaitkan aku dengan Preve, namun rakyat Malaysia semua tahu, aku ini adalah sportback versi Preve sedan. Entahlah, payah juga nak selami pemikiran orang tua ni kan. Kita diamkan sahajalah.

Aku ini dilancarkan pada 17 Ogos 2013. Lebih kurang setahun lebih setelah pelancaran abang kembar ku pada April 2012. Ketika aku diperkenalkan, aku ini telah diangkat sebagai sebuah moden premium yang sporty. Segala sifat dan ciri moden ada pada aku ketika itu.

Namakan sahaja, ABS, EBD, ESC, ISOFIX mahu pun kawalan cengkaman. Semuanya ada. Malah, aku juga boleh berbangga dengan penarafan lima bintang oleh ANCAP. Kalau ikutkan pakej, selayaknya aku ini menjadi idaman kepada bakal pembeli golongan muda dan tidak berapa nak muda. Dengan tanda harga antara di bawah RM80,000, aku ini masih boleh dikira berbaloi untuk dibeli berbanding pesaing dari jenama Jepun mahu pun Korea.

Dan sesungguhnya aku cukup bertuah apabila aku kini telah menjadi milikan kepada seorang ibu muda. Iya, pemilik aku sekarang ini adalah seorang wanita muda yang berkerjaya. Entah apalah yang bermain dalam fikirannya ketika beliau membuat keputusan untuk melawat Pusat Pameran Proton beberapa tahun yang lalu. Pada hal, beliau sepatutnya boleh sahaja untuk memilih logo T atau pun H, seperti mana tipikal Bani Melayu yang lain.

Menurut Amirah, pemilik ku ini amat menyukai rekaan aku yang sporty, ditambah lagi dengan spesifikasi yang cukup lengkap. Siap dapat peranti jalur lebar dari YES lagi. Tidaklah bosan sewaktu perjalanan jauh pulang ke kampung halaman.

Namun apa yang paling penting adalah kesedapan jantung yang tersemat rapi dalam ruangan enjin. Enjin Campro yang bersesaran 1.6 dilengkapi dengan pengecas soft turbo ini mampu menjinakan laluan Raub – Kuala Lipis dengan tenang tanpa masalah, terutamanya ketika kuasa amat diperlukan untuk memotong kenderaan bersaiz mega di hadapan. Tekan pendikit lebih sedikit sahaja dan sepantas kilat meter RPM terus bergerak menuju ke angka 4000 untuk melepaskan kuasa tujahan  205Nm. Kuasa yang disalurkan melalui kotak gear CVT tujuh kelajuan ini cukup untuk menghamburkan kuasa 138hp.

Itu belum lagi mengambil kira kesedapan pengendalian apabila emblem “Handling by Lotus”  boleh dilihat pada bahagian. Membuktikan tetapan yang dilakukan oleh Jurutera Proton terhadap aku ini cukup sempurna bagi sebuah kereta standard keluaran kilang.

Tapi sayang, setelah lima tahun berada dalam pasaran, kewujudan aku kini sudah boleh dipertikai. Walaupun rasanya aku ini masih lagi boleh dianggap sebagai relevan bagi Proton. Jadinya, apa yang harus Proton lakukan terhadap aku? Buat facelift tukar bampar kah? Atau pun jadikan aku ini sebagai model Crossover, lepas tu jual di Mexico misalannya.

Google ads
Back to top button