Artikel Pilihan

ROLLS-ROYCE SERBA MENAWAN HASIL LAKARAN KANAK-KANAK BERUSIA 8 TAHUN

Kalau dah nama Rolls-Royce kereta yang dihasilkan mereka memang bukan kaleng-kaleng. Tengok sahaja Ghost, Wraith, Dawn dan Phantom, semuanya kereta mewah elegan dengan sentuhan yang hampir cukup sempurna dan dah tak boleh nak upgrade lagi dah. Cullinan tu mungkin lain sikit dan percubaan Rolls-Royce untuk meneroka segmen baharu tapi macam mana kalau kita tanya pendapat kanak-kanak tentang rekaan Rolls-Royce pada masa akan datang?

Hasilnya boleh dikatakan di luar jangkaan. Pengeluar British itu telah menganjurkan satu pertandingan yang dinamakan Young Designer Competition untuk mencungkil bakat kanak-kanak dan satu penyertaan berjaya menarik perhatian mereka. Ia merupakan lakaran kanak-kanak berusia 8 tahun bernama Megan.

Idea Megan tentang sebuah kereta mewah sempurna ialah menggunakan madu lebah sebagai bahan bakar, mempunyai ruang khas untuk binatang peliharaan dan lambang terkenal Rolls-Royce Spirit of Ecstacy digantikan dengan Spirit of Butterfly!

Imej di atas semestinya kelihatan sangat realistik dan memang dilakar berdasarkan gambar penyertaan Megan. Penyertaan terhadap pertandingan ini memang sangat banyak sehinggakan 220 lakaran disenarai pendek. Semuanya dilukis berdasarkan fantasi kanak-kanak berusia 16 tahun dan ke bawah.

Memang menarik idea diorang ni walaupun belum tentu ia akan diproduksikan. Pertandingan yang dilancarkan April lepas menarik lebih 5,000 penyertaan dari 80 negara dengan 220 lakaran disenarai pendek. Pemenang akan diumumkan pertengahan bulan ini dan satu daripada faktor menarik ialah pemenang akan menerima gambar render lakaran yang mereka hantar untuk penyertaan.

Sebagai tambahan, pemenang juga akan dihantar ke sekolah pada hari pertama persekolahan dengan sebuah Rolls-Royce siap dengan pemandu sekali. Pemenang kedua pula bakal menerima sijil yang mempunyai tanda tangan CEO Rolls-Royce,Torsten Muller-Otvos.

Seorang pemenang dari UK juga akan berpeluang menaiki Rolls-Royce selain menerima sebuah kereta kit berkuasa elektrik Greenpower yang bakal memberikan mereka peluang untuk terlibat dalam aktiviti sukan motor British.

Apa kata syarikat tempatan pula anjurkan pertandingan yang sama? Tak adalah budak-budak kat sini asyik dok salin kerja kursus sekolah rendah yang konon-kononnya ala tesis pelajar universiti tu.

Google ads
Back to top button