Buletin

NETTUNO ENJIN BAHARU MASERATI, UNIK DAN BERKUASA TINGGI

Tahukah anda Maserati diwakili secara rasmi di negara kita? Bukan diimport secara terpakai tetapi anda boleh memilikinya dari pengedar sah. Jarang kedengaran mengenai jenama Itali ini dan sekali keluar ada sesuatu yang mengejutkan seperti model sport MC20.

Apabila bercakap mengenai Maserati, selain reka bentuk menarik dan bergaya ialah enjin yang digunakan pada model keluarannya. 

SUV pertama Maserati iaitu Levante sebagai contoh pada peringkat awal menggunakan enjin F160 yang direka pengeluar itu dan dipasang oleh Ferrari. Beberapa rekabentuk dan rekaan juga berkongsi dengan enjin F140 Ferrari.

Ini pula berita mengenai enjin yang bakal menguasakan kereta super sport dua pintu MC20 yang dijadual untuk dipertontonkan secara perdana pada September 2020.

Enjin yang dikenali sebagai Nettuno direka di fasiliti Maserati di Modena dan juga dikeluarkan di bandar terkenal Itali itu.  

Selepas 20 tahun, Maserati sekali lagi menyahut cabaran membangunkan sendiri di ibu pejabatnya di Modena, sebuah enjin baharu yang berprestasi dan berteknologi tinggi.

Nettuno dibina dalam bentuk V 90 darjah, bersesaran 3,000 cc, enam silinder dengan pengecas turbo berkembar dan menggunakan dry sump, ciri tradisi untuk kereta super sport.

Ia mempunyai output kuasa 621hp (630CV) pada 7,500 rpm dan tork 730 Nm dari 3,000 rpm hingga 5,500 rpm. Angka ini menunjukkan sesuatu yang menarik.

Nisbah mampatan ialah 11:1 manakala jara silinder (bore) 88 mm dan strok 82 mm. Silang pembakaran ialah 1-6-3-4-2-5.

Nadi kepada enjin ialah sistem pra pembakaran kebuk (pre-chamber combustion system) yang menggunakan palam pencucuh berkembar.

Teknologi ini digunakan pada Formula 1 dan menurut Maserati pertama kali diaplikasikan pada enjin untuk jalanan.

Tiga ciri utama enjin baharu tersebut ialah pre-chamber, lateral spark plug dan twin injection system – direct and indirect. 

Pre-chamber: Ruang pembakaran diatur antara elektrod pusat dan ruang pembakaran tradisional dan dihubungkan oleh rangkaian lubang yang direka khas.

Lateral spark plug: Palam pencucuh tradisional berfungsi sebagai sokongan untuk memastikan pembakaran berterusan semasa enjin beroperasi pada tahap atau keadaan di mana pre-chamber diperlukan.

Twin injection system – direct and indirect: Terkait dengan tekanan bekalan bahan api (bakar) pada 350 bar, sistem mengurangkan kebisingan pada julat putaran (rev range) rendah dan mengurangkan emisi dan memperbaiki kecekapan penggunaan bahan api.

Sistem ini menariknya menggunakan kaedah pancitan bahan terus (direct) dan tidak terus (indirect).

Maserati MC20 adalah model pertama yang menggunakan enjin baharu ini dan secara realistiknya akan digunakan pada model-model lain. 

Pengeluaran Nettuno juga bermakna Maserati mengurangkan kebergantungan kepada enjin buatan Ferrari.

BACA: MARI BACA FAKTA PENJAGAAN MASERATI GRANTURISMO

BACA: ENJIN 6.36 MASERATI 6 INJAP PER SILINDER

BACA: MASERATI LEVANTE TROFEO LAUNCH EDITION. 3 UNIT SAHAJA DI MALAYSIA. RM1.8 JUTA!

Google ads
Back to top button