Artikel Pilihan

ENJIN KITARAN MILLER, DALAM SENARAI ENJIN BARU GEELY

Dalam artikel teknikal yang lepas berkenaan enjin 1.5 TGDi dan 1.5 TD yang digunakan oleh laman sesawang Geely, penulis mendapati terdapat satu lagi enjin yang bakal diperkenalkan oleh Geely iaitu enjin 1.5 PFi Turbo Miller. Enjin ini menghasilkan hanya sekitar 140 kuasa kuda dan 215 Nm tork sahaja, lagi rendah berbanding dengan enjin 1.5 PFi Turbo.

Namun kelebihan enjin Miller ini ialah ia menggunakan bahan api yang paling rendah iaitu bacaan Brake Spesific Fuel Consumption hanyalah 220g/kWh. Menjadi kelaziman enjin yang ada kecekapan bahan api ini akan dipadankan dengan sistem hibrid, jadi kekurangan tork akan diatasi dengan penggunaan sistem motor hibrid

Jadi berbalik kepada soalan asas, apa sebenarnya enjin Miller ini?

1. Ralph Miller – merupakan seorang jurutera yang berasal dari Amerika yang memgang paten 2817322 pada 24 Disember 1957. Konsep enjin kitaran Miller yang dicadangkan boleh beroperasi dengan menggunakan petrol, disel, NGV atau gabungan bahan api.

2. Kitaran enjin Miller– sama seperti enjin Kitaran Otto iaitu lejang ambilan, mampatan, kuasa dan akhir sekali lejang ekzos. Namun dalam Kitaran Miller, injap kemasukan akan terbuka dengan lebih lama dari mula-mula piston turun ke bawah (injap kemasukan) sehinggalah piston naik 30% dari titik bawah sekali.

Apabila isipadu udara tinggal sehingga 70% daripada isipadu asal, barulah injap kemasukan ditutup. Keadaan ini akan menyebabkan udara yang memasuki silinder dipaksa keluar semula apabila piston naik ke atas semasa lejang mampatan. Udara yang berkurang menghasilkan tork yang kurang

3. Lebih Cekap Tenaga – apabila lejang kuasa (100%) melebihi lejang mampatan (70%), maka kecekapan enjin akan bertambah secara drastik. Tapi tanpa penggunaan sistem hibrid, enjin akan mengalami masalah tork pada RPM yang lebih rendah. Jap, ini macam enjin Atkinson kan.

Ya, teknik ini sama seperti yang digunakan oleh enjin Atkinson. Tapi enjin Miller akan menggunakan supercaj.

4. Supercaj – paten asal Ralph Miller mencadangkan penggunaan supercaj sebagai komponen wajib bagi memaksa lebih banyak udara masuk pada RPM rendah walaupun pada akhirnya sekitar 20-30% udara tersebut akan ditolak keluar. Penggunaan supercaj ini menghapuskan masalah tork lemah pada RPM rendah.

Jadi enjin Atkinson akan beroperasi secara Normal Aspirated (mungkin juga dibantu dengan sistem hibrid seperti yang dibuat oleh Toyota dan Honda) tapi sistem Miller mewajibkan penggunaan supercaj. Untuk meningkatkan kecekapan enjin, jurutera boleh memilih untuk menggunakan turbocaj dimana sistem turbo tiada parasitic load.

5. Intercooler – Ralph Miller juga menegaskan penggunaan sistem penyejukan intercooler menjadi sebahagian daripada sistem. Udara yang dipaksa masuk melalui sistem turbo akan disejukkan bagi mengurangkan penghasilan gas Nitrogen Oksida dan masalah knocking.

6. Nisbah mampatan lebih tinggi – disebabkan isipadu gas adalah kurang, maka jurutera boleh menggunakan nisbah mampatan yang lebih tinggi bagi meningkatkan kecekapan enjin walaupun dipasang dengan turbo tanpa perlu risau dengan masalah knocking.

7. Pernah ke enjin ini dipakai pada kereta produksi? – Mazda adalah pengguna pertama teknologi enjin ini dimana pada tahun 1995 enjin ini dipasang pada model Mazda Millenia. Enjin Kitaran Miller ini diberi kod KJ-ZEM bersesaran 2300cc 4 silinder yang menghasilkan 217 kuasa kuda dan 285Nm tork. Ia mendapat pencalonan enjin terbaik dari Wards 10 Best Engine 1995-1998.

8. Adakah ia menjadi terlalu rumit ? – apabila difikirkan semula, menggabungkan teknologi turbo dengan sistem hibrid bukanlah perkara yang mudah kerana enjin akan menjadi terlalu kompleks. Tapi Volvo telah lama menggabungkan teknologi ini dalam SUV dan juga sedan mereka yang dikenali dengan nama T8 Twin Engine. Jadi ia bukanlah masalah besar bagi Geely menghasilkan enjin ini dan menggunakannya pada model produksi.

Google ads
Back to top button