Buletin

SAH! TOYOTA BAKAL TAWAR SUV KECIL, PLATFORM YARIS

Dunia automotif sebelum ini diberitakan tentang perancangan Toyota mahu perkenalkan SUV kecil yang menggunakan platform Yaris atau GA-B.

Berita itu timbul di tengah-tengah keterujaan mengenai model baharu GR Yaris 1.6 turbo yang dipertontonkan di Tokyo Auto Salon.

Berita dan perancangan itu akhirnya disahkan Naib Presiden Eksekutif Toyota Motor Europe (TME), Matt Harrison di hadapan para jurnalis pada 14 Januari lalu di Amsterdam.

Di dalam majlis itu, Toyota hanya mempertontonkan bayangan SUV tanpa mendedahkan butiran lain seperti nama dan jangka masa ditawarkan kepada pengguna.

Toyota memaklumkan butiran tambahan bakal didedahkan pada masa akan datang.

Dengan menggunakan platform GA-B, saiz SUV itu nanti tidaklah besar, berkemungkinan ia dalam perimeter sama seperti Captur yang begitu popular di Eropah.

Toyota menaruh harapan tinggi pada Yaris dan SUV itu dengan jangkaan jualan sekitar 30 peratus daripada keseluruhan jualan Toyota di Eropah.

Toyota turut memaklumkan SUV itu nanti bukan Yaris yang ditambah body cladding dengan suspensi yang ditinggikan tetapi sebuah model dengan reka bentuk tersendiri.

Mengenai nadi kuasa, tiada maklumat didedahkan dan jika Yaris dijadikan rujukan, ia menggunakan enjin 1.5 liter (M15A) tiga silinder dengan pilihan transmisi enam kelajuan manual atau Direct Shift-CVT.

Enjin yang sama turut dipadankan dengan sistem hibrid THS II.

Platform GA-B Yaris

Pengenalan SUV itu nanti akan menjadikan Toyota mempunyai dua buah SUV kompak selepas Raize diperkenalkan sebelum ini.

SUV baharu itu nampaknya lebih cenderung untuk pasaran Eropah selepas Toyota mengesahkan ia akan dipasang di kilang Toyota Motor Manufacturing France (TMMF) di Onnaing, Perancis bersama dengan Yaris.

Google ads
"
"
Back to top button