Buletin

SALJI TERLALU LEBAT, WANITA MAUT SELEPAS TERPERANGKAP DALAM KERETA SELAMA 18 JAM

Seorang wanita berusia 22 tahun di Buffalo, New York maut selepas terperangkap di dalam keretanya selama 18 jam semasa ribut salji melanda di kawasan itu.

Anndel Taylor memandu pulang dari tempat kerja pada Jumaat sebelum terkandas kerana salji tebal.

Ahli keluarga Taylor berkata, dia sempat menghantar teks untuk mengatakan bahawa salji semakin menimbun dan menghantar video dari pandangan cermin keretanya.

Setelah itu, Anndel Taylor, menurut keluarganya, ada menghubungi 911 namun perkhidmatan kecemasan tersebut juga gagal dihubungi tepat pada masanya.

Oleh itu, Anndel Taylor membuat keputusan untuk tidur di dalam keretanya sementara menunggu situasi salji terkawal.

Walau bagaimanapun, Taylor ditemui mati di dalam kereta pada hari berikutnya, dan keluarganya menganggarkan dia terperangkap selama 18 jam.

“Saya rasa semua orang yang cuba mendekatinya terperangkap. Pihak polis, bomba, semua orang terperangkap dalam keadaan salji sebegini. Tetapi, kenapa, sehingga kini masih tiada persediaan menghadapi situasi begini sedangkan negeri ini terkenal dengan salji,” kata kakak kepada Taylor, Tomeshia Brown.

Punca kematian masih belum didedahkan, tetapi ibunya membuat spekulasi bahawa anaknya mati akibat keracunan karbon-monoksida dan bukannya hipotermia.

“Kereta itu dihidupkan dan salji masih turun dengan lebat, jadi ia menghalang paip ekzos,” kata ibunya.

Shawnequa Brown, seorang lagi kakak Taylor berkata keluarganya sedang berduka tetapi masih ada hadiah untuk adiknya di bawah pokok Krismas mereka.

Halaman GoFundMe yang disediakan oleh keluarga untuk membayar kos pengebumian telah menjana lebih AS$9,600 (RM42,610).

Google ads
Back to top button