Artikel Pilihan

BICARA TEKNIKAL: TRANSMISI DSG

Seliter petrol di Jerman berharga sekitar RM 6.50 dan seliter diesel berharga RM 5.93. Agak susah ahli politik di sana berjanji untuk menurunkan harga petrol di sana melainkan dengan bantuan Santa Claus. Kalau dikaji cara pemanduan pengguna Eropah, mereka gemarkan transmisi manual kerana ia menawarkan penggunaan petrol yang lebih baik berbanding dengan transmisi automatik, lebih sensasi pecutan dan lebih kawalan.

Jadi tidak hairanlah pengguna di Eropah memilih untuk menggunakan transmisi manual berbanding transmisi automatik. Mereka mahukan prestasi transmisi seperti manual, menjimatkan petrol dan ia adalah bonus sekiranya transmisi tersebut boleh beroperasi secara manual kan. Bunyinya seperti mustahil namun kaedah ini telahpun difikirkan oleh seorang jurutera automotif iaitu Adolphe Kegresse.

Adolphe telah mengemukakan idea transmisi dengan sistem klac berkembar bagi kegunaan Citroen. Namun disebabkan modal, idea ini terkubur begitu sahaja sebelum ia kembali dipopularkan oleh Porsche. Pada tahun 1968 Porsche memperkenalkan transmisi manual yang dijadikan automatik dengan bantuan sistem klac berkembar dengan kawalan klac diambil alih oleh unit kawalan vakum.

Transmisi ini dipasang pada model 911 dipanggil sebagai Porsche DoppelKupplang atau sebutan pendeknya ialah PDK (Porsche Dual Klutch). Namun penerimaan pengguna pada waktu itu agak hambar membuatkan Porsche tidak lagi memperkenalkan versi PDK terbaru namun ia menarik minat sekumpulan lelaki nerd dalam pasukan perlumbaan dalam kumpulan Volkswagen.

Mereka mendapati disebabkan sistem ini mempunyai dua klac yang berbeza, maka operasi pertukaran gear ratio dapat dilakukan dengan pantas tanpa ada sebarang proses kehilangan kuasa. Ini bermaksud kereta yang dilengkapkan dengan transmisi klac berkembar berupaya mencatatkan masa perlumbaan yang lebih pantas.

Audi memasang transmisi ini pada Audi S1 E2 yang digunakan untuk perlumbaan rali kumpulan B yang digandingkan dengan sistem Audi Quattro yang memenangi perlumbaan mendaki Peak Hikes setinggi 4300 meter. Porsche pula melengkapkan transmisi ini pada model Porsche 956/962 yang memenangi perlumbaan ujian ketahanan Monza 1000km pada tahun 1986.

Walaubagaimanapun terdapat beberapa isu lain yang menjadikan transmisi ini lambat sampai ke tangan pengguna walaupun sudah lama diperkenalkan dan terbukti dalam perlumbaan. Salah satu sebabnya ialah kos pembuatannya yang rumit dan mahal berbanding dengan transmisi manual dan automatik yang biasa. Pengeluar kereta terpaksa melabur sejumlah eang yang besar untuk membangunkan fasiliti pembuatan bagi mengeluarkan transmisi ini. Volkswagen mempelopori penggunaan teknologi transmisi berkembar ini dengan menggunakan produk BorgWarner yang diberi nama Direct Shift Gearbox ataupun DSG.

Ford pula mendapatkan kepakaran dan bekerjasama dengan pengeluar transmisi Getrag bagi menghasilkan transmisi klac berkembar yang diberi nama PowerShift. Antara nama lain yang digunakan oleh pengeluar termasuklah Dual Clutch Transmission – BMW, Dual Clutch System – Peugeot, Sportronic Shift Transmission – Mitsubishi, Twin Clutch Transmission – Alfa Romeo.

Salah satu sebab yang mendorong banyak pengeluar mula menggunakan transmisi klac berkembar ialah kecekapan bahan api pada sistem ini jika dibandingkan dengan transmisi automatik sebanyak 15%. Ini disebabkan oleh sistem transmisi automatik masih lagi menggunakan penukar tork yang beroperasi dengan bantuan cecair hidraulik. Kecekapan mekanikal sesuatu sistem akan merosot jika terdapat sistem hidraulik digunakan.

Dari segi kecekapan mekanikal pula, disebabkan ia boleh beroperasi pada RPM yang tinggi tanpa perlu memutuskan sambungan antara sistem dual klac dan enjin, maka kecekapan dan pecutan yang dihasilkan oleh kereta yang menggunakan sistem ini amat lancar dan tiada fenomena power loss ketika penukaran gear dibuat. Tork yang dihasilkan oleh enjin boleh dihantar terus pada transmisi tanpa gangguan.

Sebagai tambahan, sistem ini membenarkan pemandu mengambil alih proses kawalan penukaran gear samaada kepada gear tinggi ataupun rendah dengan menggunakan tombol gear ataupun penukar gear yang ada pada stering kereta. Mode ini membenarkan pemandu menukar gear pada RPM yang tinggi atau menurunkan gear bagi memberikan fungsi engine braking ketika laluan berselekoh ataupun jalan licin.

Google ads
Back to top button