Buletin

SEDAN ELEKTRIK MERCEDES EQE 350+ KINI DI MALAYSIA. 288HP/565NM, 660KM SEKALI CAJ, BERMULA RM419K

Mercedes-Benz Malaysia hari ini secara rasmi menambah portfolio kenderaan elektriknya  menerusi pelancaran sedan elektrik Mercedes-Benz EQE 2023 ke pasaran Malaysia.

Sedan elektrik dalam segmen E itu hadir dengan rekaan luaran dan dalaman yang tidak jauh berbeza berbanding  model sedan EQS. 

Misalnya ialah unit lampu utama LED, lampu nyalaan siang (DRL) jenis LED, jeriji hadapan yang kosong tanpa sebarang corong udara, selain bar lampu belakang yang melintang dari kiri ke kanan.

Tema EQS diteruskan dengan bahagian pemegang pintu jenis tertanam yang akan terkeluar apabila pemandu menghampiri kereta.

Ia juga hadir dengan garis bumbung yang lebih melandai ke belakang. Ini sekali gus -menghilangkan terus rekaan sedan tiga kotak konvensional bagi memberikan tahap aerodinamik yang lebih baik. 

Dari segi dimensi, EQE adalah 4,946mm panjang,  lebar 1,906mm dan setinggi 1,512 mm. Jarak antara roda melebihi tiga meter (3,121 mm) membolehkan EQE menawarkan ruang kabin yang hampir menyamai ruang kabin EQS. 

Untuk pasaran Malaysia, Mercedes-Benz Malaysia menawarkan spesifikasi EQE 350+. Jentera tersebut dijana oleh motor elektrik tunggal bersama pacuan roda belakang dengan kuasa 288hp dan 565Nm. 

Pek bateri berkapasiti 90.6 kWh pula menjajikan jarak gerak sekitar 660km dengan sekali cas penuh. 

EQE 350+ turut menyokong pengecasan pantas DC di mana pek bateri tersebut boleh dicas dari 10-80 peratus dalam masa 31 minit sahaja. 

Jika berminat, EQE 350+ 2023 boleh anda miliki pada harga bermula RM419,888 seunit.

GALERI

Google ads
Back to top button