
SEGALANYA TENTANG INDUSTRI BYD, BUKAN SEKADAR MENGHASILKAN KERETA ELEKTRIK
Umumnya ramai pengguna yang mengenali nama BYD selepas jenama ini dengan kerja sama Sime Darby melancarkan kereta elektrik sepenuhnya BYD Atto ke pasaran Malaysia pada awal tahun 2023. Jadi kami ceritakan sedikit berkenaan dengan industri yang melibatkan BYD untuk pengetahuan anda
1. BYD diasaskan di Shenzen pada tahun 1995 lagi dan industri pertama BYD bukanlah dalam bidang automotif, sebaliknya dalam industri penghasilan bateri yang boleh dicaj semula. Pada tahun 1996, BYD memulakan perniagaan dalam menghasilkan bateri ion lithium
2. Pada tahun 2000, BYD membuka pusat perniagaan pertama mereka di Kuichong, Shenzen. Pada tahun yang sama BYD menjadi pembekal pertama dari China yang membekalkan bateri ion lithium kepada Motorola dan menjadi pembekal kepada Nokia pada tahun 2002 serta melibatkan diri dalam bidang elektronik
3. BYD mula terjun dalam bidang automotif pada tahun 2003 dan menghasilkan kereta pertama pada tahun 2005. Model pertama yang dihasilkan oleh mereka ialah BYD F3. Syarikat elektronik BYD yang diasaskan pada tahun 2002 iaitu BYD Electronics diapungkan di pasaran saham Hong Kong pada tahun 2007
4. Pada tahun 2008, BYD menghasilkan model F3DM iaitu kereta pertama plug-in hybrid di dunia yang dihasilkan secara besar-besaran. Pada tahun ini juga Warren Buffet melabur dalam BYD sebanyak 232 juta USD melalui Sino-American Energy Holding. Pada hari ini Warren Buffet masih lagi memegang saham BYD sekitar 10%
5. BYD menghasilkan bas elektrik pertama mereka iaitu BYD K9 pada tahun 2009. Pada tahun 2010 BYD dan Daimler memetrai satu perjanjian persefahaman kerjasama bagi membentuk dan menghasilkan kereta elektrik sepenuhnya. Hasil dari kerjasama ini ialah jenama Denza di bawah BYD dihasilkan
6. BYD turut melibatkan diri dalam bidang pengangkutan awam dengan menghasilkan SkyRail Bus berkuasa elektrik sepenuhnya. Sistem SkyRail Bus ini digunakan di bandar Yinchuan, China dan juga digunakan di ibu pejabat mereka di Shenzen
7. Disebabkan memiliki kepakaran dalam bidang semikonduktor dan elektronik, BYD juga turut menghasilkan IGBT 4.0 iaitu singkatan kepada Insulated Gate Bipolar Transistor. IGBT adalah komponen atau ECU yang digunakan bagi mengawal sistem motor elektrik dan juga aliran kuasa daripada bateri. Buat masa ini semua kereta BYD menggunakan sistem IGBT 4.0
8. BYD juga memiliki kepakaran dalam menghasilkan die dan juga mould dengan ketepatan pengukuran sehingga 0.001mm atau setebal rambut. Jadi BYD berupaya membekalkan casing telefon kepada beberapa jenama terkenal di China. Besar kemungkinan casing telefon pintar yang anda guna ketika ini dihasilkan oleh BYD
9. Ketika pandemik Covid19 berlaku, BYD berjaya menghasilkan tooling dan mengubah fasiliti pemasangan kereta kepada fasiliti pembuatan topeng muka dalam masa kurang 14 hari sahaja dengan penglibatan 3000 jurutera
Fasiliti ini boleh menghasilkan 1 juta topeng muda dan 3000 pembasmi kuman dalam masa sehari. Topeng muka ini telah didermakan kepada NADMA ketika awal wabak ini berlaku
10. Pada tahun 2020 juga BYD telah melancarkan Blade Battery Lithium Ion Phopsphate. Pek bateri ini boleh bertahan apabila dipijak oleh lori seberat 45 tan, boleh dicaj sehingga 100% setiap kali pengecasan (bateri lain perlu dihadkan kepada 80% sahaja bagi memanjangkan jangka hayat), tidak terbakar selepas melalui penetration test serta mengekalkan SOC 65% selepas 8 tahun atau 4000 kali proses pengecasan
11. Laman sesawang InsideEV juga melaporkan bahawa BYD juga telah membekalkan Blade Battery ini kepada Tesla Gigafacory di Berlin bagi Tesla Model Y. Beberapa laman forum Jerman melaporkan Tesla Model Y yang dipasang dengan bateri ini mampu dicaj lebih pantas dengan DCFC berbanding dengan model yang dipasang dengan bateri CATL
12. BYD juga telah membangunkan bateri ion sodium bagi menggantikan bateri yang menggunakan ion Lithium. Selain daripada kos pembuatan yang rendah, bateri ini juga memiliki risiko yang lebioh rendah untuk terbakar
12. Buat masa ini BYD Seagull adalah kereta elektrik termurah yang dihasilkan oleh BYD dengan harga permulaan sekitar RM 39,000 sahaja. Ia dikuasakan dengan Blade Battery sebesar 30.7kWh dan juga dipasang dengn motor elektrik 74 kuasa kuda. Satu pengecasan penuh membolehklan Seagull dipandu sejauh 305km

