Buletin

VOLVO EX30, SUV VOLVO PALING KECIL DAN TANGKAS, 0-100 KM/J DALAM 3.6 SAAT!

Setelah beberapa siri kempen prapelancaran, Volvo EX30 akhirnya dipertontonkan kepada umum di Milan, Itali. Apa yang istimewa tentang EX30?

Pertama sekali, EX30 merupakan kenderaan utiliti sukan (SUV) kecil premium pertama syarikat dan kedua, ditawarkan pada harga menarik untuk sebuah kenderaan elektik (EV).

Volvo juga mengatur strategi bateri supaya padan dengan penggunaan melalui tiga pilihan rangkaian kuasa.

Khusus untuk pengguna yang banyak menghabiskan masa di bandar atau memandu pada jarak dekat, EX30 motor tunggal dengan bateri LFP sudah memadai.

Varian ini menggunakan bateri lithium iron phosphate dengan kos paling berkesan dan penghasilan  sumber yang kurang intensif. 

Pilihan kedua iaitu EX30 Single Motor Extended Range didatangkan dengan motor tunggal dan bateri NMC yang mengandungi litium, nikel, mangan dan kobalt.

Pakej ini menghasilkan tenaga lebih cekap berbanding LFP dan menawarkan jarak pemanduan sehingga 480 kilometer (WLTP). 

Untuk pelanggan yang mahukan prestasi, EX30 Twin Motor Performance adalah jawapannya. Varian ini menggunakan bateri NMC dan e-motor tambahan untuk memacu semua roda.

Pakej elektrik yang dibekalkan menghambur 315 kW (428 kuasa kuda) dan pecutan dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya memerlukan 3.6 saat!

Keupayaan itu meletakkannya sebagai model Volvo paling tangkas memecut. Untuk mengecas, EX30 Twin Motor mempunyai kapasiti sehingga 153kW dan 134kW untuk varian Standard Range.

Tempoh pengecasan untuk tambahan tenaga dari 10 hingga 80 peratus dalam lingkungan 25 minit.

Bahagian dalam EX30 tipikal seperti sebuah kenderaan elektrik dengan papan pemuka direka kemas dan skrin besar saiz 12.3 inci.

Gaya Scandinavian diserlahkan lagi melalui lima pilihan lampu suasana yang dipengaruhi landskap benua itu. 

Rekaan luar EX30 membawa identiti sebuah Volvo yang bersahaja namun diolah dengan permukaan dan garisan badan yang berlekuk dan beralun.

Tidaklah membosankan dan dari jauh ibarat EX90 yang dikecilkan. EX30 juga nampak rugged dan lebih jelas dilihat melalui varian Cross Country yang akan ditawarkan pada 2024.

EX30 Cross Country mempunyai jarak kelegaan bumi lebih tinggi, plat kelincir di sekeliling bahagian dan panel hitam pada bampar depan dan pintu but, rim 19 inci atau pilihan 18 inci dengan tayar khas.

Ada lima warna EX30 termasuk pilihan terang Moss Yellow yang diinspirasi dari liken (alga dan kulat) yang tumbuh di batuan di Sweden.

Volvo EX30 sudah ditawarkan untuk pelanggan di Eropah dan beberapa pasaran terpilih.

Bagaimana dengan harga? Bermula dari sekitar 36,000 euro (RM177,184) dan paras harga yang menarik untuk sebuah EV dari Volvo!

BACA: INI KEMEWAHAN DALAMAN VOLVO EX90 EXCELLENCE, DUA KERUSI SAHAJA DI BELAKANG!

BACA: APAKAH MAKSUD HURUF XC PADA MODEL SUV VOLVO?

BACA: VOLVO C40, SUV KOMPAK ELEKTRIK DENGAN REKAAN COUPE. 450KM UNTUK SEKALI CAJ

BACA: APA YANG PERLU DISERVIS KALAU ANDA MEMILIKI VOLVO XC40 RECHARGE?

Google ads
Back to top button