Buletin

HONDA CIVIC TYPE OVERLAND – BILA FK8 JADI JENTERA RALI

Honda UK dilapor telah bekerjasama dengan firma kejuruteraan Ralph Hosier Engineering untuk membangunkan sebuah jentera yang cukup istimewa.

Dikenali sebagai Honda Civic Type OveRland, ia merupakan Type-R FK8 versi rali. Ia dipamerkan buat pertama kali pada acara Pandu Uji SMMT 2019 di Liter MillBrook, Bedfordshire, UK.  

Honda UK memang kreatif dalam mempelbagaikan versi Type-R. Buktinya sebelum ini, ia pernah menghasilkan Civic Type-R pikap dan Type-R wagon.

Jentera ini menggunakan enjin sama iaitu 2.0liter turbo yang menjana kuasa 306hp dan tork 400Nm. Bagaimanapun, suspensinya telah dinaikkan setinggi empat inci dan trek juga dilebarkan.

Honda Civic Type OveRland diinspirasikan daripada model-model Rally Raid, Overland dan Safari dalam dunia rali serta pengembaraan.

Bodykit baharu dipasang untuk membolehkan tayar BF Goodrich berbunga tebal diletakkan di keempat-empat sudut. Civic Type OveRland juga dilengkapi corong penyejukan tambahan yang memang berfungsi sebaiknya.

Rim gayaan rali, skup pada bumbung (tak tahu apa fungsinya) dan beberapa corong di sekitar badannya jelas mengubah penampilan asal sedan berkuasa tinggi ini.

Apa yang kurang ialah kereta itu tidak mempunyai sistem pacuan semua roda. Sebaliknya kuasa disalurkan ke roda hadapan.

Sebagai sebuah model konsep, ia tidak dihasilkan sepenuhnya oleh Honda. Harga pun tidak dinyatakan.

Google ads
Back to top button