Artikel Pilihan

SELAMAT KE MEMANDU DENGAN CERMIN DEPAN YANG RETAK?

Satu hari anda memandu di belakang lori kontena, menunggu masa untuk memotong. Tiba-tiba entah dari mana seketul batu jalan datang dari tayar lori terus terkena pada cermin depan kereta anda. Fuhh nasib baik cermin tak retak, cuma ada satu lekukan kecil saja.

Anda terus memandu macam biasa tapi selepas beberapa ketika, barulah anda perasan yang lekukan pada bahagian tepi cermin tadi berubah menjadi satu garisan halus. Mula-mula sedikit, lepas tu jadi satu inci. Kemudian jadi sejengkal, akhirnya merebak ke semua bahagian cermin. Malang sungguh nasib anda

Ketika mula-mula kereta dicipta, pemandu terpaksa memakai goggle atau pelindung mata bagi menghalang habuk, air dan juga angin memasuki mata. Pada tahun 1904, kereta mula dipasang dengan pelincung cermin di bahagian depan bagi menggantikan goggle. Masalahnya ialah cermin ini mudah retak dan bersepai ketika terkena pada impak

Serpihan kaca tadi berpotensi untuk melukai pemandu dan juga penumpang. Bagi mengatasi masalah ini, laminated glass dicipta. Kaca berlapis ini sebenarnya direka dengan 2 lapisan cermin dengan satu lapisan vinyl yang berada di bahagian tengah, macam sandwic. Jika terkena batu, hanya bahagian depan saja yang retak, manakala bahagian dalam keadaan baik

Cermin ini kadangkala dipanggil sebagai laminated safety glass. Apa yang pengguna tidak tahu ialah ” cermin depan dan belakang adalah sebahagian daripada struktur cesi kenderaan, dan menerima tekanan daripada cesi dan permukaan jalan”. Kalau anda belajar berkenaan cesi kenderaan, anda wajib tahu mengira berapa jumlah tekanan yang diterima pada cermin depan dan belakang.

Proses pengiraan ini membuatkan anda muntah seperti bini anda mengandung anda kembar, jadi kita tidak akan mengira dalam artikel ini. Jadi anda kena faham, cermin depan dan belakang akan sentiasa menerima tekanan dari cesi kenderaan. Jadi dengan sedikit hentaman dari batu terutama di bahagian , cermin akan mudah retak

Bukanlah kena batu sikit cermin terus retak. Cermin ini dihasilkan dengan teknik hardening, iaitu proses rawatan haba tambahan supaya ia menjadi sangat keras dan tidak mudah pecah. Tapi jika hentaman batu terlalu kuat, ia akan menjadi retak. Ditambah pula dengan pendedahan tekanan dari cesi, retakan ini akan menjadi semakin panjang

Salah satu faktor lain yang menyebabkan retakan cermin menjadi semakin teruk ialah apabila ia diparkir di bawah panas terik. Suhu yang tinggi akan menyebabkan retakan tadi menjadi semakin besar. Satu lagi faktor yang menyebabkan penulis tidak suka ialah, kadangkala cahaya matahari akan memantul terus ke mata anda melalui rekahan tadi. Sakit mata wei

Salah satu cara paling pantas bagi mengatasi masalah ini ialah dengan membaiki cermin di kedai cermin dengan menggunakan resin khas. Ia akan menghalang cermin dari terus meretak. Kalau cermin anda sudah meretak teruk, anda boleh disaman oleh JPJ melalui peruntukan undang-undang K 94 MV(C&U) 1959.

Kos menukar cermin adalah mahal, jadi kami nasihatkan anda tahu harga cermin kereta anda dan peruntukkan sedikit duit untuk membeli perlindungan takaful cermin. Kalau kereta anda memiliki teknologi brek automatik yang berpandukan kamera, kos penukaran cermin depan akan menjadi semakin mahal. Mungkin 2 ke 3 kali ganda dari cermin biasa

Cermin yang retak akan mempengaruhi fungsi kamera yang akan memberi maklumat kepada sistem AEB. Ia juga akan mempengaruhi fungsi lain seperti Lane Departure Warning, Lane Keep Assist dan juga Adaptive Cruise Control. Ini kerana sesetengah model kereta memerlukan juruteknik melakukan proses kalibrasi dinamik dan kalibrasi statik

Jadi berbalik kepada soalan di atas, adakah selamat memandu kereta dengan cermin retak? Ia selamat dan tidak membahayakan anda. Tapi jika terlalu teruk, anda mungkin akan disaman oleh JPJ, mengganggu keselesaan pemanduan disebabkan silau, serta mempengaruhi sistem brek AEB dan pelbagai fungsi pemanduan pintar.

Google ads
Back to top button