Motosikal

MOTOSIKAL SELAMATKAN WANITA INI DARIPADA KEMURUNGAN

Seorang penyunting video di sebuah stesen penyiaran sukan terkenal di Amerika Syarikat mengaku bahawa menunggang motosikal telah berjaya menyelamatkannya daripada kemurungan.

Rachel Pearson memberitahu, keseronokan bekerja mengejar deadline dan keterujaan berjumpa dengan bintang-bintang sukan dunia hanya bersifat sementara.

Buntu dengan tekanan kerja yang dialami di pejabat, Pearson tahu bahawa dia perlu mencari sesuatu untuk menenangkan jiwanya itu.

Dia akhirnya mendapat keberanian untuk menunggang motosikal. “Saya rasa terperangkap dalam masa yang sukar, hubungan yang tidak menjadi, sentiasa berfikiran negatif dan sering berasa sunyi.

“Kerjaya yang sebelum ini menyeronokkan semakin hambar. Pada Januari 2018, saya memotong rambut dan beberapa bulan kemudian saya membeli sebuah Triumph T100 Bonneville.

“Inilah keputusan terbaik pernah saya buat, walaupun abang kata ibu dan ayah mungkin akan ‘membunuh’ saya kerana menunggang motosikal. Saya sendiri tidak percaya kesan menunggang motosikal ke dalam hidup saya sekarang,” kata Pearson.

Menamakan T100 itu sebagai Black Betty sempena nama neneknya, dia sebenarnya tahu untuk menukar minyak hitam dan banyak membuat kajian mengenai jentera tersebut. Ini sekali gus membolehkannya fokus kepada benda lain yang lebih mengujakan.

Menurut Pearson lagi, kalau sebelum ini dia tidak mahu orang lain melihatnya, kini dia mahu orang melihatnya menunggang T100. Apatah lagi motosikal itu memang bergaya dan dilengkapi pelbagai ciri canggih.

Jadi, apabila dia berasa serabut, benda pertama yang akan dicapainya ialah kunci T100,  terus meluncur di atas jalan raya dan menikmati pemandangan indah tepi laut.

Menariknya tentang motosikal, penunggang lain akan menegur dan mereka berbual seperti sudah lama kenal.  

“Saya bersyukur kerana mendapat Bonneville ini pada waktu yang tepat, jika tidak, tidak tahulah apa yang akan berlaku,” kata Pearson.  

sumber: Triumph

Tags
Google ads
Back to top button