TOYOTA C+pod – KECIL DARIPADA ‘KEI CAR’, PACUAN RWD!
Mahu cuba kenderaan elektrik? Nak saiz kecil dan harga munasabah? Ini jawapan yang diberikan oleh Toyota iaitu C+pod.
C+pod pertama kali ditawarkan pada 25 Disember 2020 dan pada masa itu untuk pelanggan korporat, kerajaan tempatan dan organisasi sahaja.
Kini pelanggan awam di Jepun boleh merasai C+pod selepas Toyota mengumumkan peluasan penjualannya pada 23 Disember 2021.
Pemilikan tersebut bukan melalui cara biasa tetapi menggunakan kaedah pajakan.
Saiz kecil, dua tempat duduk
C+pod adalah kenderaan elektrik bateri (BEV) ultra kompak dan lebih kecil berbanding kei car. Ukuran panjang C+pod ialah 2,490mm, 1,290 mm lebar dan tinggi 1,550 mm dengan jarak putaran stereng minimum 3.9 meter.
Tempat duduk pula hanya ada dua dan C+pod direka sebagai alternatif untuk pengguna yang selalu bergerak pada jarak dekat.
Di antara golongan tersebut ialah orang muda, pemandu baharu atau individu berusia yang mungkin rasa gementar tentang memandu.
Satu lagi kelebihan fizikal C+pod ialah ianya mudah untuk dikendalikan di jalan sempit, tidak perlu pulas stereng dengan banyak semasa parkir dan senang dipandu hari-hari.
Berat dua varian C+pod ialah 670 kg (X) dan 690 kg (G) dengan panel luar yang diperbuat daripada plastik.
Kenapa Toyota guna kaedah pajakan?
Kaedah itu dibuat berdasarkan inisiatif 3R supaya kegunaan bateri dapat dikurangkan, diguna dan dikitar semula serta satu daripada cara ke arah karbon neutral.
Berapa jauh boleh pandu?
Mengikut standard WLTC (Kelas 1), C+pod boleh dipandu sejauh 150 kilometer. Kelajuan maksimum ialah 60 km/j dan walaupun perlahan ianya sudah memadai untuk kenderaan sebegini.
Kuasa motor elektrik ialah 9.2 kW (12.3 hp) dengan tork 56 Nm. Sekali lagi kuasa tersebut memang rendah cuma apa yang menyeronokkan ialah C+pod dipacu menggunakan roda belakang (RWD).
Untuk cas penuh, masa yang diperlukan ialah sekitar lima jam (fasa tunggal 200V/16A) dan 16 jam (100V/6A).
Selain itu andai kata berlakunya bencana atau terputus bekalan, C+pod boleh membekalkan kuasa sehingga 1,500 W (100 VAC).
Kelengkapan keselamatan
Dari segi perlindungan, C+pod menggunakan struktur yang mampu mengagih dan menyerap tenaga pada pelbagai komponen seandainya berlaku impak pada bahagian depan, sisi dan belakang.
Turut dilindungi ialah pejalan kaki melalui penggunaan struktur badan kereta yang berupaya mengurangkan kecederaan kepada mangsa.
C+pod juga dilengkapi Sistem Keselamatam Pra pelanggaran yang mampu mengesan kenderaan lain pada waktu siang dan malam.
Sistem yang sama turut boleh mengesan pejalan kaki pada kedua-dua siang dan malam dan penunggang basikal pada waktu siang.
Sistem Intelligent Clearance Sonar dengan Parking Support Brakes (objek statik) pula berupaya mengelak pelanggaran atau mengurangkan kerosakan jika berlaku kemalangan dengan dinding atau objek lain semasa kelajuan rendah.
Harga?
Seperti yang dimaklumkan tadi, Toyota C+pod ditawarkan melalui kaedah pajakan. Varian C+pod G ditawarkan pada harga 1,650,000 yen (RM60,621) dan (RM63,046) 1,716,000 yen untuk C+pod G.
BACA: TOYOTA TRD DESERT CHASE TUNDRA, INI BARU PADU!