
SENARAI KERETA ELEKTRIK YANG DIJUAL SECARA RASMI DI MALAYSIA
Dalam usaha mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida dan green house gas ke atmosfera, kita tidak dapat lari dengan hakikat yang penyelesaian terdekat setakat ini ialah dengan meninggalkan kereta berkuasa petrol atau diesel kepada kereta yang lebih mesra alam.
Satu kajian terbaru yang dibuat oleh Eindhoven University of Technology mendapati pencemaran alam yang dihasilkan akibat pembuatan kereta elektrik adalah lebih rendah berbanding dengan kajian awal pada tahun 2017. Malah bateri yang digunakan adalah tahan lebih lama, sekitar 180,000km berbanding dengan kajian asal
Masalah penawaran ialah masalah biasa yang berlaku apabila pengeluar masih skeptikal untuk menjual kereta elektrik di negara kita secara rasmi. Bimbang kerana penerimaan pengguna yang sukar untuk berubah kepada kereta elektrik. Satu ketika dulu, tak banyak penawaran dibuat untuk kereta elektrik melainkan Nissan dengan model Leaf
Tapi pada hari ini kita lihat banyak kereta elektrik dibawa masuk secara rasmi bukannya unit recond. Malah harga yang ditawarkan juga makin menarik dan masuk akal. Antara model-model baru yang masuk berdasarkan jenama ialah:

1. Hyundai – antara jenama yang aktif membawa masuk kereta elektrik untuk dijual di sini dengan harga mampu milik. Paling murah ialah Hyundai Kona Electric e-Lite dengan bateri sebesar 39.2kWh dan mampu dipandu sejauh 305km (WLTP). Varian ini dijual pada harga RM 150,000.
Jika anda mampu, anda boleh memilih Hyundai Kona e-Max dengan bateri sebesar 64kWh dan jarak perjalanan sejauh 484km (WLTP). Ia masih dipadankan dengan motor elektrik yang sama dengan varian e-Lite yang menghasilkan 201 kuasa kuda dan 395Nm tork. Varian ini dijual pada harga RM 200,000.
Tapi untuk pengetahuan pembaca, Kona adalah cesi yang dibangunkan pada asalnya untuk kegunaan enji petrol dan dipasangkan dengan bateri dan motor elektrik. Jika anda mahukan model yang lebih canggih, maka Hyundai Ionic 5 adalah pilihan yang lebih baik kerana platformnya dibangunkan dengan platform elektrik serba baru
Platform e-GMP dengan sistem 800 volt dan 2 pilihan saiz bateri samaada 58kWh atau 72.6kWh. Ia berupaya dicaj dalam masa 18 minit sahaja dengan sistem pengecasan pantas DC 350kW. Tapi sudah tentu harganya lebih mahal.
Varian Ionic 5 e-Lite ditawarkan dengan harga RM 200,000 datang dengan motor elektrik yang menghasilkan 168 kuasa kuda dan 350Nm tork. Jarak perjalanan yang ditawarkan ialah 385km. Varian Ionic 5 Max pula datang dengan harga RM 260,000 tapi dengan bateri bersaiz 72.6kWh

Sistem 2 unit motor elektrik menjana sehingga 302 kuasa kuda dan 605Nm tork dengan jarak perjalanan sehingga 430km
2. Mini Cooper – jenama ini hanya menawarkan 1 model sahaja dalam versi elektrik iaitu Mini Electric, datang dengan bateri sebesar 28.9kWh serta motor elektrik tunggal yang menjana 181 kuasa kuda dan 270Nm tork. Dengan harga RM 178,000 Mini Electric boleh dipandu sejauh 234km sahaja.
3. Mazda- selepas lama berkeras dengan enjin pembakaran dalam yang efisyen, Mazda akhirnya akur dengan kehendak pasaran dengan menawarkan model elektrik sepenuhnya iaitu Mazda MX-30. Ia datang dengan bateri sebesar 35.5 kWh, motor elektrik yang menjana 143 kuasa kuda dan 271Nm tork.
Dengan penawaran harga jangkaan sekitar RM 198,000 maka MX-30 dijangka akan bersaing sengit dengan model kereta elektrik yang lain kerana jarak perjalanan yang ditawarkan hanyalah sekitar 199km sahaja.
4. Volvo- menawarkan satu model elektrik sepenuhnya iaitu XC40 Recharge P8 AWD yang dibangunkan atas platform Compact Modular Architecture. Ia dilengkapkan dengan 2 motor elektrik yang menjana 404 kuasa kuda dan 660Nm tork.

Bateri 78kWh pula membolehkan ia dipandu sejauh 418km untuk satu pengecasan penuh. Dengan harga RM 263,000 kesemua 400 unit untuk tahun 2022 yang dipasang secara CKD untuk pasaran negara telah habis ditempah. Boleh tahan jugak Volvo XC40 Recharge punya penangan ni.
5. BMW – antara jenama yang aktif membawa masuk kereta elektrik untuk dijual secara rasmi tapi anda kena ingat bahawa BMW bukanlah jenama yang murah. Tapi ia tidak menghalang BMW membawa masuk 3 jenis kereta elektrik untuk dijual secara rasmi iaitu satu sedan sport dan dua jenis SUV
Sedan i40 datang dengan 2 varian samaada i4 eDrive40 M Sport atau i4 M50. Kedua dua model dibangunkan atas platform yang berasaskan enjin pembakaran dalam iaitu CLAR dengan bateri sebesar 83.9kWh. i4 40 diberikan satu motor elektrik bagi menghasilkan 335 kuasa kuda dan 430Nm tork dengan jarak 590km untuk satu pengecasan penuh
Bagi i4 M50, ia dijana dengan 2 motor elektrik bagi menghasilkan 537 kuasa kuda dan 795Nm tork. Tapi jarak perjalanannya menjadi lebih pendek pada 510km sahaja. i4 ditawarkan pada harga RM 364,000 manakala i4 M50 pula datang dengan tanda harga Rm 430,800.

Jika anda tidak berminat dengan sedan, BMW turut menawarkan SUV yang dibangunkan atas platform CLAR iaitu BMW iX3 M Sport Inspiring dan juga BMW iX3 M Sport Impressive. Kedua dua varian menerima bateri sebesar 73.8kWh yang membolehkan iX3 dipandu sejauh 453km untuk satu pengecasan penuh
Hanya 1 motor elektrik berkuasa 282 kuasa kuda dan 400Nm tork sahaja yang dipasang pada iX3. Varian terendah dijual pada harga RM 298,000 manakala varian termahal dijual pada harga 318,000. Bagi model yang lebih canggih, anda boleh memilih untuk membeli model iX yang dibangunkan atas platform bespoke electric drivetrain architecture
Ia digabungkan dengan kerangka aluminium dan CFRP. iX menggunakan bateri sebesar 76.6 kWh, sistem 2 unit motor yang menjana 332 kuasa kuda, 630Nm tork serta boleh dipandu sejauh 425km sekali caj. Varian termurah dijual pada harga RM 361,000 manakala varian termahal dijual pada harga Rm 407,000
6. Mercedes-Benz – menawarkan 2 pilihan kereta elektrik samaada sedan EQS dengan harga menjangkau RM 699,000 ataupun SUV EQA dengan harga RM 278,000. EQS dipadankan dengan bateri sebesar 107.8kWh bagi membolehkannya melakukan perjalanan sejauh 782km untuk sekali caj.

Ia hanya dilengkapi dengan 1 motor elektrik berkuasa 328 kuasa kuda dan 565Nm tork. Bagi EQA ia hanya dipadankan dengan bateri bersaiz 66.5kWh bagi membolehkannya dipandu sejauh 429km untuk sekali caj. Motor elektriknya menjana sekitar 188 kuasa kuda dan 375Nm tork
7. Kia – model EV6 menggunakan platform yang sama seperti Hyundai Ionic 5, saiz bateri ditetapkan pada 77.4kWh tapi dengan sistem pengurusan bateri yang lebih baik. Ia mampu dipandu sejauh 506km untuk sekali caj penuh dan dikuasakan dengan 2 unit motor elektrik yang menghasilkan 320 kuasa kuda dan 605Nm tork
Kia EV6 akan dijual pada harga RM 300,000, dipadankan dengan on board charger 11kW bagi pengecasan selama 7 jam atau 18 minit sahaja bagi DC Fast Charging 350kW.
Sebenarnya lebih banyak lagi kereta elektrik yang akan dibawa masuk ke seperti Great Wall Motor akan memperkenalkan Ora Good Cat Ultra yang dipadankan dengan bateri sebesar 63.1kWh bagi pemanduan sejauh 500km. Apa yang mengejutkan lagi ialah harganya yang lebih menarik iaitu sekitar RM 150,000 dan ke atas.

Proton juga telah menandatangani satu perjanjian pengedaran kereta elektrik bagi jenama Smart yang dibangunkan atas platform Geely’s Sustainable Electric Architecture (SEA) dan rekaan luar dihasilkan oleh Mercedes-Benz.
Ia akan menggunakan bateri sebesar 66kWh bagi perjalanan sejauh 440km untuk satu pengecasan penuh, dipadankan dengan satu motor elektrik yang berkuasa 268 kuasa kuda dan 343Nm tork. Setakat Proton masih tidak mengumumkan harga jualan bagi EV ini.


