Buletin

SEPARUH PENDUDUK BRITAIN PERTIMBANG BELI EV TAPI …

Satu kajian dilakukan di Britain menunjukkan hampir separuh daripada responden mempertimbangkan membeli sebuah kenderaan elektrik (EV) sebagai kenderaan terbaharu mereka.

Dalam tinjauan bersama dilakukan Persatuan Automobil (AA) dan program televisyen ITV Tonight, lebih 17,000 orang memberikan pendapat mereka berhubung penggunaan EV.

Secara keseluruhan, 47 peratus responden berpendapat kereta terbaharu yang akan dibeli mereka merupakan EV.

Bahkan, tidak mengejutkan apabila sebanyak 56 peratus yang menetap di kota London lebih terbuka dalam memiliki EV.

Kajian tersebut turut memperlihatkan golongan muda berusia 18 hingga 24 tahun merupakan antara responden yang paling banyak mempertimbangkan menggunakan EV iaitu sebanyak 60 peratus.

Ia diikuti golongan berusia 35 hingga 44 tahun (56 peratus) dan warga emas 55 hingga 64 tahun (48 peratus).

Begitupun, maklum balas terbabit bukanlah perkara positif buat pengeluar-pengeluar EV, ia berikutan sebanyak 82 peratus bersetuju bahawa kenderaan masa depan itu terlalu mahal untuk dimiliki mereka.

Sebanyak 58 peratus beranggapan ia mengambil terlalu lama untuk mengecas sebuah kenderaan elektrik manakala 49 peratus memaklumkan negara berkenaan tidak mampu menyalurkan tenaga elektrik sekiranya semua penduduk beralih kepada EV.

 Dalam pada itu, beberapa faktor mendorong mereka untuk membeli EV termasuk harga diturunkan menyamai kenderaan petrol ataupun diesel, bilangan stesen pengecas ditingkatkan di kawasan awam seperti pasar raya dan pusat riadah.

Penjualan EV ini perlu dipertingkatkan secara mendadak di Britain pada tahun akan datang kerana pentadbiran negara berkenaan ingin melarang penjualan kenderaan baharu menggunakan khidmat enjin pembakaran dalaman termasuk hibrid pada tahun 2035. – carscoops.

Google ads
"
"
Back to top button