SIAPA YANG BINA BULATAN MENGELIRUKAN NI?
Pengguna jalan raya di pusat bandar Douglas, kepulauan Isle of Man menyifatkan bulatan yang baharu dibina sangat pelik dan mengelirukan.
Ia berikutan pembinaan kemudahan terbaharu itu didatangkan dengan tiga bulatan sekali gus boleh menyebabkan kekeliruan dan berbahaya kepada pengguna jalan raya.
Melalui rakaman imej dari sisi dron, bulatan baharu siap dibina itu menunjukkan terdapat tiga bulatan menghubungkan beberapa jalan yang sama.
Menurut laporan The Sun, penduduk tempatan menghentam rekaan bulatan terbabit dengan berkata ia agak sukar untuk digunakan malah tidak masuk akal.
Bagaimanapun, kerajaan kepulauan itu berkata kemudahan yang dibina perlu digunakan seperti bulatan-bulatan lain.
Katanya, para pengguna jalan raya akan membiasakan diri dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, jurucakap kerajaan memberitahu The Sun, satu lagi bulatan dengan rekaan serupa akan dibina selepas pembukaan bulatan tersebut pada 14 Jun lalu.
Seorang penduduk setempat, Craig Goffin berkata bulatan berkenaan sangat pelik.
“Kenapa tidak membina bulatan biasa sahaja. Ia sangat mengelirukan orang ramai.
“Saya sangat risau berlaku kemalangan kerana segelintir pengguna tidak mungkin dapat menggunakan bulatan ini dengan baik,” katanya.
Kerajaan menyifatkan rekaan bulatan tersebut sebagai roundel yang merupakan cakera bulat digunakan sebagai simbol.
Menteri Infrastruktur Tim Baker menambah, roundel merupakan sebahagian daripada rekaan lebuh raya moden.
“Sejak beberapa tahun lalu, ia telah digunakan di United Kingdom (UK),” katanya – The Sun