Artikel Pilihan

NAMA-NAMA PELIK KERETA DARI JEPUN

Jepun banyak menghasilkan kereta-kereta hebat yang telah mencetuskan revolusi dalam dunia automotif. Siapa yang tidak kenal dengan nama-nama kereta seperti Nissan GT-R, Honda NSX ataupun Mazda RX7. Namun di sebalik nama-nama hebat tersebut, ada juga terselit nama-nama yang agak kelakar. Mungkin itu bukan tujuan asal tetapi ada antara nama-nama tersebut membawa makna disebaliknya dalam bahasa tertentu.

Sudah tentu nama seperti Odyssey, Land Cruiser ataupun MX-5 boleh difahami di serata dunia sebagai nama yang mempunyai karektornya yang tersendiri. Namun ada juga nama yag mampu membuatkan kita tersenyum sendiri bila mengetahui maksudnya dalam apa juga bahasa lain yang berkenaan. Mari kita tengok beberapa nama pelik yang menjadi pilihan syarikat-syarikat permotoran Jepun.

MITSUBISHI DINGO

Mula-mula kami dengar kami ingatkan ia nama timangan untuk kereta ini kerana rupanya yang agak kelakar tetapi rupanya ia memang nama sebenarnya. Terlintas juga di fikiran kami, takkan mereka yang terlibat dalam pemilihan nama kereta ini tidak pernah mendengar ataupun memahami maksud perkataan dingo?.

Dingo merujuk kepada anjing-anjing liar di Australia yang mana menurut dongengnya suka mencuri bayi untuk menjadi makanannya. Selepas Dingo agak-agak nama apa pulak ye? Mitsubishi Dalmatian?

MAZDA LAPUTA

Ini memang kelakar, Mazda LaPuta. Nasib baik bukan LaPuta Special Edition ataupun LaPuta Superleggera. Sekali dengar memang bunyinya agak comel dan dikatakan ia sempena nama sebuah tempat di dalam novel Gulliver’s Travel yang telah ditulis  oleh Jonathan Swift.

Malangnya mereka tidak menyedari yang nama Laputa juga terdapat dalam bahasa Sepanyol yang bermaksud kupu-kupu malam. Memang kelakar kerana bahasa Sepanyol dituturkan oleh lebih 300 juta manusia di dunia ini.

MITSUBISHI PAJERO

MITSUBISHI PAJERO FACELIFT 2015

Apa yang silap dengan nama Pajero? Ia dikenali di seluruh dunia sebagai sebuah kenderaan SUV 4WD yang cukup kukuh dengan sokongan latarbelakang rali Dakar yang cukup gemilang. Itu memang tidak dapat disangkal lagi tetapi sekali lagi jika namanya disebutkan di Sepanyol, ramai penduduk di sana akan mengangkat kening masing-masing. Apa maksudnya?

Sila tanya Encik Google kerana laman Mekanika ini sebuah laman permotoran yang bersih dan mengelakkan bercakap mengenai perkara lucah. Ia juga merupakan sebab utama kenapa Pajero dikenali dengan nama Shogun di Eropah.

NISSAN FUGA

Nissan Fuga ialah sebuah sedan dengan enjin V8. Dalam bahasa Jepun ia bermaksud ‘elegan’ manakala dalam bahasa Itali pula ia bermaksud ‘melepaskan diri’. Kedua-dua maksud memang sesuai bila digandingkan untuk menjelaskan lagi tentang sedan mewah Nissan ini.

Bagaimanapun dalam bahasa Inggeris kedesaan/kampung, ia bermaksud sejenis cendawan. Jadi bila anda menerangkan kepada  sahabat-sahabat anda dari Jepun atau Itali yang anda memandu Fuga, ia mungkin kedengaran cukup hebat. Tetapi reaksi berbeza akan diterima jika anda mengulang ayat yang sama di kawasan desa Inggeris.

MITSUBISHI LEGNUM

Legnum merupakan sebuah wagon sporty dari Mitsubishi. Namanya memang mempunyai maksud yang agak kelakar dalam bahasa Inggeris. Ia memang kurang sesuai bila digandingkan dengan sebuah kereta yang sporty seperti ini.

Namanya bila dibaca kedengaran seperti Leg Numb ataupun Numb Leg atau dalam Bahasa Melayu bermaksud kaki yang lenguh. Adakah memandunya seharian akan membuatkan anda merasa lenguh?

DAIHATSU NAKED

Ada ke sesiapa yang tak faham maksud naked kat sini? Naked bike pernah dengar?

Ia merupakan sebuah kereta Kei-Car keluaran Jepun dengan hanya menggunakan enjin 660cc. Jika anda lihat sekeliling kereta ini anda akan dapati kenapa ia dinamakan Naked.

Ia kerana kereta ini kelihatan seperti kehilangan beberapa kepingan logam yang seharusnya ada untuk menjadikannya  sebuah kereta yang sempurna.

ISUZU BIGHORN

Namanya sahaja sudah mengundang senyuman kepada masyarakat yang bertutur dalam Bahasa Inggeris. Tak faham? Tanya kawan yang mahir. Walaupun ia bukan dalam bahasa Sepanyol, masih lagi ia akan menyebabkan ramai individu tersengih mendengarnya.

Justeru itu namanya ditukar kepada  Isuzu Trooper di beberapa buah negara termasuk Malaysia.

Banyak lagi nama-nama yang agak kelakar seperti Note, That’s, Life, Zest, Freed dan lain-lain lagi. Jika anda ada terlintas nama-nama seperti yang kami sebutkan di atas, sila kongsikan kepada kami. Boleh kita sengih ramai-ramai.

Akhir sekali, ini bukan nama yang pelik, tapi rekabentuk kereta yang pelik, Daihatsu Midget II

BACA: 5 KERETA DENGAN REKAAN PINTU YANG PELIK

BACA: KERETA MENARIK JEPUN YANG TAK DIKENALI DUNIA

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button