Buletin

GURU REDAH LALUAN BERLIKU SEJAUH 80 KM GUNA HONDA EX5 DEMI ANAK MURID DI POS BALAR

Bergelar insan pendidik bukanlah satu tugas yang mudah untuk digalas apatah lagi berdepan segelintir masyarakat memiliki pemikiran cetek dalam memperlekeh kerjaya berkenaan.

Insan pendidik merupakan antara orang yang bertanggungjawab dalam mencorak kehidupan anak-anak berdepan masa hadapan lebih cemerlang.

Bahkan, mereka juga tidak pernah berputus asa dalam membentuk adab para pelajar agar menjadi manusia bertanggungjawab dan menghormati sesama insan.

Teringat kepada kata-kata Buya Hamka berbunyi kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang. Bukan terletak pada wajah dan pakaiannya.

Satu perkongsian di laman Facebook EX5 110/EX5 Fi Malaysia membuktikan pengorbanan seorang guru yang sanggup meredah laluan berliku sejauh hampir 80 km semata-mata ingin berbakti kepada para pelajarnya.

Dengan menggunakan nama Ben Zaid, lelaki berkenaan memberitahu dia perlu melalui laluan balak yang ditinggalkan sejauh 80 km dari Kuala Betis, Gua Musang ke Pos Balar untuk sampai ke Sekolah Kebangsaan Balar, Gua Musang Kelantan.

Lelaki berkenaan tidak menaiki kenderaan pacuan empat roda ataupun scrambler tetapi memilih menunggang sebuah motosikal Honda EX5 Fi yang lebih mesra dengan panggilan Fi Kambing.

“Perjalanan mengambil masa dalam lima jam apabila musim jalan kering . Bagaimanapun, risko tetap ada terutama musim hujan yang mengambil masa tujuh hingga sembilan jam untuk sampai ke sekolah.

“Begitulah rutin aku setiap minggu. Doakan aku sahabat,” tulisnya.

Dia memberitahu pernah diajukan soalan mengapa tidak menggunakan motosikal scrambler sahaja.

“Orang tanya kenapa tak guna scrambler? Tak sesuai kawan , jalannya tak sesuai sebab dengan ketinggian dan motornya yang lebar. Kapcai biasa paling sesuai.

“Mula-mula risau juga takut kalau kambing ni mengembek di tengah jalan, Alhamdulillah kambing ni steady meredah jalan yang Tuhan sahaja tahu betapa azabnya.

“Siapa yang tanya kambing ni lasak ke tak ? Jawapan aku memang layak di panggil kambing gurun . Minyak jimat, enjin pickup. Enjin masih standard cuma luaran je aku ada modifield sikit ikut kesesuaian trek bukit,” ujarnya.

Melalui gambar yang dimuat naik, boleh dikatakan dia bukan berseorangan tetapi turut disertai beberapa tenaga pendidik dalam menyampaikan ilmu kepada para pelajar di kawasan pedalaman.

Semoga perjuangan dan semangat para pendidik ini tidak luntur. – FB Ben Zaid/EX5 110/EX5 Fi Malaysia  

Google ads
Back to top button