BuletinMotosikal

YAMAHA AKAN PERBAHARUI R25 UNTUK TAHUN 2018 – INI SPEKULASI TENTANG SPESIFIKASINYA

Ia bukan satu rahsia lagi bagaimana Yamaha sedang mempersiapkan proses naik taraf R25 mereka di peringkat global. Ia bukannya sesuatu yang dapat dielakkan apatah lagi dengan saingan sengit yang diberikan oleh dua lagi pesaing mereka iaitu Honda dengan CBR250RR mereka dan Kawasaki Ninja 250.

Spekulasi tentang naiktaraf R25 menjadi topik popular di laman-laman permotoran seluruh dan menurut beberapa sumber yang rapat dengan Yamaha, jentera baru itu sudah pun selesai di uji di Jepun dan sedang menjalani ujian di negara-negara luar untuk durabiliti. Ia juga telah dikesan diuji di India dan juga Indonesia.

Sepertimana model naiktaraf lain dijangkakan ia tidak akan berubah secara total kerana dikatakan masih menggunakan kerangka yang sama dengan model tahun ini. Dan bila menggunakan kerangka yang sama logiknya dimensi enjin tidak akan banyak berubah cuma mungkin berbeza dari segi talaannya.

Yamaha juga cukup mengambil berat dengan ujian ketahanan ataupun durabiliti motosikal keluaran mereka kerana Honda sepertimana yang kita ketahui adalah juara bagi ketahanan motosikal. Bagaimanapun kualiti model-model baru Yamaha adalah dikatakan setanding dengan pesaing lain.

Enjin baru juga dikatakan mempunyai profil aci sesondol yang berbeza cuma belum dapat dipastikan sama ada menggunakan Variable Valve Actuator (VVA) ataupun Variable Valve Timing (VVT). Nisbah mampatan untuk model baru ini pula dikatakan 12.5:1 berbanding dengan model sekarang 11.6:1.

BACA: TERGUGAT DENGAN BAJAJ RS200, YAMAHA LANCARKAN FAZER 250

Kalau itu anda rasa belum cukup dasyat bagaimana dengan enjinnya yang dikatakan dapat diperah sehingga 16,000RPM? Ambik kau, dan kuasa sebesar itu akan dikawal dengan menggunakan sistem YCT (Yamaha Traction Control).

Dari segi aerodinamik luaran pula Yamaha sememangnya juara sama seperti model-model lain keluaran mereka. Ia akan mengekalkan garis-garis badan yang menjadi identiti model-model R Yamaha. Lampu hadapan berkembar dikekalkan tetapi lebih tipis berbanding sekarang dan menggunakan teknologi LED. Selain daripada itu ia juga bakal dilengkapkan dengan Ram Air baru. Paparan instrumentasi juga akan memggunakan ciri digital sepenuhnya.

Untuk kestabilan dan kawalan yang lebih baik ia dijangkakan dilengkapi dengan fork hadapan teleskopik terbalik dari Kayaba dan lengan buai rekaan baru. Saiz rim dan tayar juga akan menjadi lebih besar dengan ketinggian tunggangan baru sekitar 835 mm.

Enjin 249 cc sejukan cecair R25 akan dipadankan dengan kotak gear 6-kelajuan yang bakal menghasilkan 35.5 hp kuasa dan 22.1 Nm tork. Ia juga akan ditala semula untuk memberikan lebih kuasa berbanding dengan model sebelum ini.

Macam biasa kami ramalkan ia akan dilancarkan di India terlebih dahulu diikuti dengan Thailand ataupun Indonesia sebelum mendarat di Malaysia. Satu kelebihan juga kerana sempatlah kita kumpul duit untuk buat bayar muka. Tapi biasanya tak sempat bayar muka dah habis korek buat tampung kos sara hidup yang sungguh menyayat hati.

 

Google ads
Back to top button