Artikel Pilihan

STESEN MINYAK MINI – KECIL-KECIL CILI API!

Pernah tak bila kita balik kampung lepas tu terjumpa stesen-stesen minyak yang kita tak pernah dengar kewujudannya sebelum ni. Stesen-stesen minyak yang dimaksudkan seperti Teguh, Smart atau Buraq-oil.

Masa tu dalam fikiran dah terfikir adakah ini industri kecil-sederhana keluaran kampung aku ke ni? Mana dia orang gali? Bapak terer. Kalaulah betul, anak muda dah tak payah keluar kampung kerja bandar. Lepak kampung kerja dalam industri minyak dan gas. Masyuk kata orang.

Pernah dibekukan lesennya pada 2007 oleh KPDNHEP akibat ketirisan jualan bahan api bersubsidi oleh pengusaha yang tidak jujur, ia kini dibuka semula sejak 2014 demi membantu para pengusaha yang berminat dalam industri peruncitan bahan api. Peluang perniagaan yang boleh dikatakan memberi pulangan yang lumayan.

Stesen-stesen mini ini asasnya memang sama macam stesen minyak yang lain. Cuma ia mempunyai skala saiz yang lebih kecil dari segi modal, tapak perniagaan dan ditempatkan di kawasan-kawasan luar bandar atau pedalaman bagi memudahkan penduduk luar bandar seperti petani atau nelayan mendapatkan bahan api.

Ia lebih kepada sistem francais bagi perniagaan peruncitan bahan api. Ia boleh juga dikatakan sebagai penjenamaan semula jenama syarikat-syarikat minyak besar seperti Petronas misalnya yang bertindak membekal produk-produk dengan jenama baru.

Jadi janganlah risau akan kualiti bahan api yang dibekalkan. Harga pun sama macam bahan api yang dijual di kawasan bandar. Tak lebih tak kurang.

Ada stesen minyak mini yang teramatlah cantik, tak kurang yang rupanya macam kedai runcit tengah ladang kelapa sawit dan ada juga dalam proses penjenamaan semula. Industri yang mendapat sokongan kerajaan ini dah tentu masa depannya cerah.

Kalau pergi jalan Seremban-Rantau, stesen minyak Teguh memang kurang lawa. Tetapi tak pernah putus orang datang tuang petrol.

Ciri-ciri stesen minyak mini:

1. Mempunyai tidak lebih daripada 3 pam petrol atau diesel di setiap stesen.

2. Terdapat 2 cara sistem penyimpanan bahan api iaitu jenis PCS (Portable Container System) yang mana bekas khas untuk menyimpan bahan tanpa tangki bawah tanah. Kedua, jika stesen mini yang menyimpan bekalan bawah tanah, ia mestilah tidak lebih daripada dua tangki.

3. Mestilah terletak lebih kurang 10km dari stesen minyak terdekat.

4. Contoh modal yang perlu ada untuk membina stesen minyak BuraqOil misalnya adalah antara RM350,000 hingga RM750,000 bergantung kepada saiz tanah. Kosnya jauh lebih rendah berbanding pembinaan stesen minyak di bandar yang boleh mencecah sehingga RM1 juta.

Walaupun tidak setanding dengan kemampuan pengusaha stesen minyak berjenama di bandar-bandar utama, kewujudan stesen-stesen mini ini bagaimanapun menjadi pelengkap kepada keperluan penduduk luar bandar dalam menikmati kemudahan bekalan petrol dan diesel bersubsidi seperti di bandar besar.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button