SUBARU LEGACY OUTBACK BLACK SELECTION UNTUK JEPUN, 1.8 TURBO 177PS 300NM
Di dalam artikel sebelum ini kami melaporkan mengenai penamatan Subaru Legacy di Amerika Syarikat. Walaupun begitu versi wagon iaitu Outback akan diteruskan.
Di Jepun, Outback dikenali sebagai Legacy Outback dan Subaru baru sahaja mengumumkan perubahan spesifikasi dan pengenalan varian baharu.
Legacy Outback merupakan model crossover SUV andalan Subaru dan sudah hampir 30 tahun sejak diperkenal (Outback) di Amerika Utara pada 1994.
Legacy Outback memberi nilai yang baik kepada pelanggan melalui keupayaannnya untuk dipandu ke mana sahaja, ruang muatan dan bahagian dalam bermutu.
Senang kata, Legacy Outback adalah sebuah kereta yang praktikal dan bukan dalam saiz SUV besar.
Untuk model 2025 Subaru menawarkan varian Active x Black EX dan warna baharu bagi menambah tarikan.
Subaru turut memperkenal edisi istimewa Black Selection yang diasaskan dari Limited EX sedia ada dan tampil serba hitam.
Di antara perkakasan khas seperti balutan kulit Nappa warna hitam rim 18 inci, perkakasan luar hitam dan pelbagai lagi.
Berkenaan rangkaian kuasa, Legacy Outback digerakkan enjin 1.8 liter Boxer DIT (Direcy Injection Turbo) yang menghasilkan 177 ps dari 5,200 sehingga 5,600 rpm dan 300Nm dari 1,600 sehingga 3,600 rpm.
Enjin dipadan bersama kotak gear Lineartronic CVT dan pacuan semua roda Symmetrical AWD.
Ciri-ciri Subaru Legacy Outback Black Selection:
- Rim aluminium 18 inci warna hitam metalik
- Rel bumbung hitam
- Jeriji depan hitam dan Luster Black
- Pendakap bampar hitam
- Pendakap perumah lampu kabus hitam
- Logo Outback dan Symmetricial AWD Luster Black
- Perumah cermin sisi hitam
- Kerusi Nappa hitam, sulaman perak
- Kerusi depan dengan fungsi pengudaraan
- Kerusi pemandu dengan larasan panjang kusyen
- Balutan kulit dan sulaman perak pada papan pemuka dan pintu
Black Selection ditawarkan pada harga 4,499,000 yen (RM137,048) dan rendah sedikit berbanding varian teratas Active x Black EX yang berharga 4,510,000 yen (RM137,369).