Artikel Pilihan

SOLBERG DAN SUBARU KEMBALI BERGABUNG

Nama Peter Solberg dan Subaru suatu ketika dahulu pernah menggegarkan dunia rali apabila berjaya merangkul kejuaraan WRC pada tahun 2003. Gandingan yang cukup sempurna di kala itu. Apatah dengan trademark livery Subaru Impreza yang cukup menyerlah.

Pada usia 44 tahun, sebenarnya Peter Solberg ini tidaklah terlalu tua. Beliau yang berasal Norway ini masih lagi aktif berlumba dalam siri perlumbaan rally cross malah pernah merangkul Wolrd Rallycross Championship (WRX) sebanyak dua kali pada tahun 2014 & 2015. Handal lagi berlumba sebenarnya Pakcik Peter Solberg ini. Terkini Peter Solberg mewakili PSRX Volkswagen Sweden.

Tapi, berita yang ingin Brader Karrager kongsikan di sini adalah mengenai anak beliau, Oliver Solberg. Anak sulung kepada pasangan Peter Solberg dan Pernilla Solberg yang berusia 18 tahun ini baharu sahaja dilamar oleh pasukan pasukan Subaru Motorsports USA untuk beraksi dalam saingan rali di negara Uncle Sam sana sebanyak enam pusingan.

Penyatuan jenama ‘Solberg & Subaru’ ini pasti merupakan sesuatu yang cukup ironi dalam dunia rali. Cukup sinonim. Bagai sireh pulang ke gagang gayanya. Apatah lagi, apabila Subaru WRX STI ini turut dilayangkan dengan warna asalnya. Fuh! Mengancam betul tengok.

Bagi Oliver Solberg sendiri, sudah tentu ianya adalah perkhabaran yang cukup besar dan gah untuk beliau. Dikaitkan pula dengan Subaru. Dejavu orang kata. Ketika bapanya memenangi WRC, beliau pula hanya sibuk nak menghisp puting di usia dua tahun.

Pada tahun sudah, beliau berjaya memenangi RallyX Nordic pada usia yang boleh dikirakan cukup muda dengan memandu kereta DS 3 Supercar yang mempunyai 600 HP milik bapanya.

Malah, beliau berjaya memenangi pusingan awal Latvian Rally Championship dengan memandu Volkswagen Polo GTI R5. Pengalaman pertama beliau memandu jentera dengan pacuan empat roda. Ternyata, Oliver Solberg ini mempunyai gen pemandu rali yang cukup kuat. Cepat menyesuaikan diri dengan kereta lumba rali.

Oh ya, jika ada yang keliru mengapakah anak muda ini berlumba di Latvia adalah disebabkan faktor undang – undang. Di Latvia, seawal usia 17 tahun sudah boleh memohon lesen berbanding 18 tahun jika di Sweden. Kejap, keliru tak? Peter Solberg si ayahnya warganegara Norway, tapi apa pasal pula si anak boleh lepas sampai ke Sweden kan. Sudah tentulah si Oliver ini memegang status kerakyatan berdasarkan ibu beliau yang juga merupakan warganegara Sweden.

Bersama pasukan Subaru Motorsports USA, Oliver bakal bergandingan dengan David Higgins, pelumba handalan dalam dunia rali di Amerika Syarikat. Musim lalu, pasukan ini berjaya memenangi 13 daripada 14 perlumbaan. Kalau tengok pada gaya, macam Oliver Solberg ni bakal memberikan saingan sengit kelak.

BACA : KERETA RALI SUBARU WRX STI 2017

BACA : SELAMAT TINGGAL SUBARU WRX STI DAN INI 150 UNIT TERAKHIR

Tags
Google ads
Back to top button