
SUBARU XV GT EDITION KINI DILANCARKAN DI MALAYSIA – LEBIH SPORTY, KHUSUS UNTUK ASIA
Pengedar eksklusif kenderaan Subaru di Malaysia, TC Subaru Sdn. Bhd. telah melancarkan varian terbaru Subaru XV yang dinamakan Subaru XV GT Edition.
Model edisi istimewa crossover popular ini dihasilkan dengan kolaborasi bersama Giken Co. Ltd. dan Masahiko “Jack” Kobayashi.
Kobayashi merupakan bekas Chief Designer (Head of Global Advanced Design Studio) Subaru Corporation. Beliau merupakan individu yang bertanggungjawab mereka bahagian luaran lebih 12 model kereta keluaran Subaru (termasuklah model lagenda mereka, WRX STi).

XV edisi istimewa ini mempunyai aerokit dengan penambahan 4 elemen kepada menambah lagi aura kepada ciri asas XV yang sudah sedia sporty. Antara elemen terbabit ialah:
- Penambahan lip pada bahagian bumper hadapan dengan sirip bersepadu.
- Skirting sisi
- Spoiler bumbung
- Penambahan pada bumper belakang
Ia kemudian diserlahkan lagi dengan penggunaan sport rim aloi bersaiz 17-inci. XV GT Edition ini menampilkan penggunaan karpet dan rekaan tempat duduk kulit yang diinspirasikan daripada model grand tourer berprestasi tinggi dari Jerman dan England.

Pakej peralatan keselamatan juga disokong dengan penggunaan sistem monitor sisi berkembar yang membantu pemandu memandu dan meletakkan kenderaan dengan lebih mudah dan selamat.
Penambahan kit ini adalah berdasarkan pemahaman kehendak pelanggan secara mendalam oleh Motor Image, kepakaran Kobayashi, pengalaman Giken dan keupayaan pengeluaran dengan standard Jepun di Asia Tenggara.

Menurut Glenn Tan, Timbalan Pengerusi dan Pengarah Urusan Tan Chong International Ltd, Subaru XV GT Edition ini direka khusus untuk pasaran Asia.
Giken dan Kobayashi turut berkongsi minat dengan mereka dalam menghasilkan produk yang menarik dan menyeronokkan untuk pelanggan.
Respon yang diterima di Thailand dan Filipina sebelum ini sangat menggalakkan dan mereka berharap rakyat Malaysia akan memberikan reaksi yang sama kepada Subaru XV GT Edition baru ini.
Subaru XV turut dipilih sebagai ‘Most Exciting New Product’ pada Bangkok International Motor Show bulan Mac yang lepas.

Kobayashi pada asalnya ialah seorang pereka fesyen terlatih di Tokyo sebelum menamatkan pengajian dengan ijazah Transportation Design.
Selama 25 tahun di Subaru, beliau merupakan seorang ‘hit maker’ kerana menghasilkan rekaan untuk model-model popular Subaru antaranya ialah Subaru Outback yang asal, beberapa generasi Legacy dan Impreza, WRX dan WRX STI terkini, Levorg dan generasi pertama Subaru XV. Kini beliau telah bersara dan menjadi seorang pereka bebas.
Giken pula merupakan sebuah syarikat kejuruteraan yang pernah memenangi pelbagai anugerah dan diasaskan pada tahun 1964. Syarikat ini mempunyai hakmilik paten yang cukup banyak di Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.
Mereka cukup terkenal sebagai peneraju industri dalam bidang rekaan dan pembuatan sistem kawalan. Malah mereka juga adalah pembekal komponen kereta penumpang utama untuk Subaru dan banyak lagi syarikat Jepun lain.