Buletin

5,000 PEMANDU DAN PENUMPANG DISAMAN DI TURKI KERANA MEROKOK DI DALAM KERETA

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sememangnya tidak suka kepada amalan merokok. Malah, beliau bertanggungjawab dalam mengambil langkah yang dilihat ekstrem supaya tabiat buruk itu tidak berleluasa di negara itu. 

Erdogan mengharamkan amalan merokok di tempat-tempat awam dan terbaru, perokok tidak dibenarkan merokok walaupun di dalam kenderaan sendiri.

Menurut laporan akhbar tempatan, Huriyet Daily News, pada 25 September lalu, lebih 5,000 orang pemandu dan penumpang disaman kerana merokok di dalam kereta. 

Operasi besar-besaran itu melibatkan lebih 37,000 pegawai polis dan 169 ekor anjing pengesan. Di bandar-bandar besar, polis boleh mengakses CCTV untuk melihat plat nombor kereta yang melanggar peraturan tersebut. 

Sebanyak 150,000 kereta telah diperiksa. Selain kesalahan merokok, seramai 9,000 orang pemandu didapati tidak mempunyai dokumentasi yang lengkap, komponen kereta rosak dan 2,000 buah kereta tidak selamat untuk berada di atas jalan raya. 

Manakala 690 orang suspek turut ditahan di atas pelbagai jenayah seperti bunuh, gangster dan dadah. Malah, enam orang yang dilaporkan hilang sebelum ini juga ditemui.  

Turki mempunyai jutaan perokok tegar dan pengambilan rokok haram juga dilaporkan kian meningkat saban tahun. Ahli politik dan organisasi kesihatan percaya langkah lebih drastik dan pendidikan perlu diambil bagi membuatkan perokok meninggalkan tabiat buruk itu. 

Tags
Google ads
Back to top button