" "
Artikel Pilihan

SUSPENSI BELAKANG VOLVO GUNA LEAF SPRING? BUKAN MULTI-LINK?

Kami rasa sedan Volvo S60 merupakan antara sedan yang paling hensem dalam kelasnya selain daripada mampu menghasilkan 407 kuasa kuda dan menjana 640Nm tork daripada gabungan enjin dan motor elektrik serta sistem PHEV. Malah dengan harga sekitar RM 295,000 ia boleh lagi disifatkan sebagai berbaloi dengan semua teknologi yang ditawarkan

Sekiranya anda melihat laman sesawang Volvo dan memuat turun risalah berkenaan dengan Volvo S60, anda akan menerima maklumat sebanyak 9 muka surat termasuk sebut harga. Namun tiada satu pun yang menyebut berkenaan dengan sistem suspensi yang digunakan pada model ini.

Bagi bahagian depan, model ini menggunakan sistem suspensi double wishbone, spring gegelung, penyerap hentak serta bar penstabil. Jika anda cuba cari di bahagian belakang, sesetengah laman sesawang automotif hanya meletakkan nama “Multi-Link”. Mungkin juga tepat, tapi tahukah anda bahawa kebanyakan model Volvo tiada gegelung spring pada gandar belakang?

Secara rasmi Volvo menamakan sistem suspensi ini sebagai “Integral Axle with Transverse Composite Leaf Spring, Hydraulic Shock Absorber with Stabiliser bar”. Penyerap hentakan berasaskan udara (air suspension) boleh dipilih jika ditawarkan untuk sesetengah pasaran. Panjang juga nama sistem ini ya

Kalau anda melihat dengan teliti, mungkin rekaan sebegini menyamai rekaan suspensi Multi-Link, satu terma yang mudah difahami oleh orang awam. Tapi anda akan perasan perkataan “Transverse Composite Leaf Spring” iaitu satu spring dedaun yang biasa dihasilkan bagi kegunaan trak pikap 4×4, melainkan apa yang digunakan oleh Volvo adalah jauh lebih canggih

Leaf spring atau spring dedaun ini memang direka khas oleh Volvo bagi kegunaan platform Scalable Product Architecture yang mana platform ini merupakan platform khas hibrid PHEV. Menjadi kebiasaan platform akan direka bersama-sama dengan sistem trenkuasa dimana S60 menerima enjin supercaj, turbo dan motor elektrik yang dipasang pada roda belakang

Motor elektrik ini akan bertindak sebagai eAWD manakala enjin depan bersama-sama transmisi 8 kelajuan akan memacu tayar depan. Sistem motor ini akan menerima kuasa elektrik daripada bateri Lithium ion 11.6kWh yang dipasang secara menegak di tengah cesi. Motor pula dikapit secara sandwich di gandar belakang menjadikan ruang belakang tidak cukup besar untuk komponen lain terutama spring gegelung konvensional

Di antara motor elektrik dan bateri, tangki petrol sebesar 60 liter dipasang di bahagian ini. Ruang yang agak terhad ini juga menjadikan Volvo S60 hanya mampu menawarkan 397 liter ruang kargo. Disebabkan isu ruang jurutera Volvo memilih untuk menggunakan spring dedaun yang lebih kompak tapi menawarkan dinamik pemanduan yang bagus

Leaf spring ini dibekalkan oleh SGL Carbon yang berpusat di Jerman yang menghasilkan spring ini daripada bahan glass fibre reinforced plastic (GFRP). Jika dibandingkan dengan spring keluli yang seberat 15kg, GFRP lebih 65% ringan dengan berat sekitar 6kg sahaja selain lebih kompak. Dengan menjadikan komponen ini ringan, ia akan menyumbangkan kepada pengurangan pelepasan gas karbon dioksida

Walaupun menggunakan spring dedaun di bahagian belakang, Volvo S60 masih menawarkan pemanduan dinamik dengan dibantu sistem eAWD. Jika sistem mengesan S60 mengalami understeer, motor eAWD di roda belakang akan menghantar tork bagi membetulkan arah kereta. Ia merupakan satu solusi bijak daripada Volvo, satu komponen yang ringan, kompak dan sesuai dengan platform SPA mereka

Google ads
Back to top button