Motosikal

DIDI AUTOMOTIVE DILANTIK PENGEDAR RASMI ROYAL ENFIELD DI MALAYSIA

Royal Enfield mengumumkan pelantikan Didi Automotive Sdn. Bhd. sebagai rakan pengedar rasmi di pasaran Malaysia.

Didi Automotive mengambil alih sebagai pengedar jenama berkenaan daripada SNH Bhumi Corporation Sdn. Bhd. berkuatkuasa serta-merta.

Pengerusi DIDI Group, Rewi Hamid Bugo berkata pihaknya sangat berbangga dapat menjalin kerjasama bersama jenama motosikal tertua di dunia dalam pengeluaran berterusan dan mempelbagaikan penawaran kepada peminat motosikal di negara.

“Sejak beberapa tahun lalu, Malaysia telah melihat permintaan semakin meningkat terhadap motosikal menarik dan mudah ditunggang yang mampu memberi kepuasan kepada penunggang.

“Sasaran kami adalah untuk memastikan kehadiran jenama Royal Enfield di setiap negeri-negeri di Malaysia sekali gus dapat memberi pengalaman pemilikan terbaik dari segi jualan, selepas jualan dan penunggangan,” katanya.

Beliau menambah DIDI Group berharap dengan Royal Enfield dapat memperkasa gaya hidup tunggangan yang mudah diakses dan berkualiti.

Dalam pada itu, Ketua Unit Pernigaan Pasaran APAC Royal Enfield, Vimal Sumbly berkata Royal Enfield bukan baharu di pasaran Asia Tenggara.

“Pengedar Royal Enfield telah wujud di negara Singapura sebelum dan selepas Perang Dunia ke-2.

“Malaysa merupakan pasaran penting untuk Royal Enfield dan percaya jentera-jentera keluaran Royal Enfield sangat ideal para pelanggan merasai pengalaman baharu dalam tunggangan malah dapat merentasi keindahan landskap di negara ini,” katanya.

Untuk maklumat lanjut berhubung Royal Enfield boleh melayari laman web www.royalenfield.com atau mengunjungi Royal Enfield Store.

Google ads
Back to top button