Buletin

SUZUKI BURGMAN STREET 125EX, MODEL BURGMAN TERKECIL!

Sudah menjadi tradisi pengeluar Jepun seperti Yamaha dan Honda mempunyai keluarga skuter dengan pelbagai sesaran enjin kecil dan besar. Suzuki tidak terkecuali dan tampil dengan siri Burgman sejak dari tahun 1998 lagi.

Skuter Burgman dengan enjin paling kecil ialah 125cc dan secara keseluruhannya mempunyai enjin 150cc, 200cc, 250cc, 400cc dan 600 cc.

Daripada semua model tersebut, Burgman 200 dan 400 masih lagi dijual dan terbaru Suzuki memperkenalkan Burgman Street 125EX untuk pasaran United Kingdom.

Sebagai Burgman terkecil, skuter ini digerakkan enjin 124cc dan model Suzuki pertama menggunakan teknologi Suzuki Eco Performance Alpha (SEP-α).

Enjin ini dikatakan mempunyai ciri yang cemerlang dari segi penggunaan bahan api dan emisi yang rendah.

Berdasarkan maklumat rasmi, penggunaan petrol ialah 148.67 mpg (WMTC dengan EASS) atau bersamaan 63.21 km/l.

Angka itu lebih jimat berbanding Burgman terdahulu dengan penggunaan 94.06 mpg atau 40 km/l. Pelepasan CO2 pula 44g/km 68g/km pada model sebelum ini.

Burgman terbaru ini dilengkapi teknologi Engine Auto Stop-Start (EASS) yang membantu dalam mengurangkan penggunaan petrol dan emisi.

Dari segi kuasa pula, enjin 124 cc mempunyai output 8.6PS pada 6,500 rpm dan tork 10Nm pada 5,500 rpm.

Enjin SOHC itu menggunakan penyejukan udara, sistem suntikan bahan api dan semestinya dipadan bersama transmisi CVT.

Secara asasnya enjin SEP-alpha adalah lanjutan kepada enjin SEP yang telah menguasakan lebih lima juta skuter Suzuki di serata dunia.

Dari segi praktikaliti, Burgman Street 125EX dibekalkan tangki minyak 5.5 liter, ruang bawah pelana 21.5 liter, pengecas USB, dua cangkuk, dua ruang simpanan kecil dengan satu jenis tertutup.

Berkenaan saiz, tinggi pelana ialah 780 mm, jarak kelegaan bumi 160 mm manakala berat (kerb) pula 112 kg. Roda yang digunakan saiz 12 inci dengan tayar 90/90 di depan dan 100/80 di belakang.

Dari segi reka bentuk, skuter ini tampil dengan gaya tersendiri dan tidak 100 peratus sama namun masih dalam lenggok Burgman 200 dan 400.

Paling jelas berbeza ialah lampu jenis tunggal berbanding dua pisahan pada dua lagi model.

Walaupun menggunakan enjin kecil, Burgman Street 125EX nampak seperti skuter dengan enjin lebih besar.

Dari tepi, skuter ini mempunyai garisan badan yang beralun dan peredam ekzos yang menonjol.

Harga untuk pasaran UK belum dikeluarkan dan sekadar perkongsian, Burgman 400 dibawa masuk ke pasaran tempatan dan dijual pada harga sekitar RM46,000.

BACA: SUZUKI LANCAR GRAND VITARA 2023 DI INDIA. TAK NAK BAWA MASUK SINI KE?

BACA: SUZUKI CARRY – INILAH DIA RAJA PIKAP DI INDONESIA

BACA: SUZUKI XL7, XL ALPHA FF, ERTIGA & ERTIGA SUZUKI SPORT – BENDA YANG SAMA TAPI BERBEZA SEGMEN (DAH TENTU HARGA JUGA)

Google ads
Back to top button