
HIMPUNAN KERETA IMPIAN UNTUK DILELONG SEKALIGUS – SIAPALAH PEMILIK ASALNYA NI?
Apakah koleksi kereta idaman anda? Semua model Alza ataupun semua generasi Myvi? Tapi kalau anda jenis hartawan dengan harta melimpah ruah, semua hypercar Ferrari mungkin sesuai untuk anda. Tambah pula dengan beberapa unit Bugatti, sebiji dua Jaguar dari era 90-an untuk digandingkan dengan EB110 (bukan Ebby Yus ni ye) dan beberapa jentera rali Group B yang terkenal dengan keganasan mereka selain dilengkapkan oleh Lamborghini Miura sebagai pelengkap hidangan.

Semua unit ini datangnya dari satu koleksi individu dan kini beliau ingin melepaskannya dengan sekali gus. Nak pindah ke bulan ke bos?
Himpunan lapan belas unit model terhebat ini diberi gelaran Gran Turismo Collection oleh RM Sotheby dan bakal dilelong November ini. Eh, belanjawan baharu ni berapa banyak masyuk untuk kita? Tak sempat dengar tahu-tahu dah bubur, maaf bubar parlimen.

Senarai lengkap koleksi ini merangkumi sebuah Ferrari 288 GTO, F40, F50, Enzo dan LaFerrari. Tiga buah Bugatti yang terdiri daripada dua unit EB110 dan sebuah Chiron Super Sport dan diikuti oleh dua unit Jaguar. XJR-15 dan XJ220 S (laju benda alah ni dulu tau).
Terdapat juga dua buah Lamborghini klasik, Miura SV dan Countach LP5000 S. Itu model hi-end jadi kalau nak pandu hari-hari tiga unit Ferrari kuning dengan enjin di hadapan mungkin lebih sesuai. Semua model GT Convertible tau, buka bumbung baru la best.
Tapi kalau anda jenis berjiwa ganas macam kami tiga unit model ori jentera rali Group B mungkin lebih menarik perhatian. Jentera rali Group B ni memang lagi ganas dari jentera rali biasa (hanya sesuai untuk juara rali 7 kali Mentakab). Model yang dimaksudkan ialah Lancia 037 yang pernah dipandu oleh Markku Alen dan pernah menjadi juara pada tahun 1983.

Sebuah lagi ialah model lejen Lancia Delta S4 yang pernah memenangi Rallye Monte Carlo. Kami pun pernah pandu kereta ni dulu tapi kat mesin permainan Sega Rally di Sega Universe.
Akhir kali semestinya gergasi rali Group B, Audi Quattro dengan liveri S1 E2. Inilah Audi terganas wahai generasi tiktok sekelian. Bukan untuk pemandu biasa-biasa malah dalam permainan video pun ia cukup liar dan sukar dikawal.
Kesemua koleksi 18-unit supercar/hypercar ini bakal dilepaskan pada bulan November akan datang. Jangkaan harga berapa? Dua patah perkataan sahaja jawapannya: Sangat mahal!

