SUZUKI XL7, XL ALPHA FF, ERTIGA & ERTIGA SUZUKI SPORT – BENDA YANG SAMA TAPI BERBEZA SEGMEN (DAH TENTU HARGA JUGA)
Rasanya, ini adalah merupakan tajuk artikel yang paling panjang pernah BK berikan. Umum mengetahui bahawa Suzuki Ertiga ini merupakan suatu MPV yang dijual dengan rancak di negara jiran Indonesia. Mungkin ada yang merasa, Suzuki Ertiga ini tidaklah sepopular berbanding jenama MPV yang lain akan tetapi ianya masih lagi relevan dan penting buat PT Indomobil Suzuki International.
Suzuki Ertiga yang dipasarkan kini merupakan generasi kedua setelah diperkenalkan pada tahun 2018 melalui kilang pemasangan yang terdapat di Cikarang. Secara lahiriah, paras rupa generasi kedua ini juga sudah kelihatan menawan dan elegan. Sama seperti barisan MPV murah yang ada di sana, Suzuki Ertiga ini juga menggunakan trenkuasa bersesaran 1.5 liter melalui enjin K15B yang mampu menghasilkan kuasa sekitar 103 HP.
Manakala model Ertiga Suzuki Sport ini pula kelihatan sedikit sporty, cukup sesuai untuk dipandu oleh anak muda yang mahukan penampilan MPV yang lebih ganteng. Agar sedikit berbeza berbanding model Ertiga standard yang barangkali kelihatan cukup cocok dipandu oleh bapak bapak.
Jelas sekali, rupa luaran MPV ini telah diberikan kit badan yang lebih sporty serta beberapa kemasan sport rim dua tona. Nampaklah sedikit perbezaan berbanding model Ertiga standard.
Seperti biasa, untuk memberikan pilihan yang lebih sporty kepada pengguna, varian Suzuki XL7 telah diperkenalkan dengan penampilan yang lebih rugged seperti sebuah model crossover pula gayanya. Titik kelegaan bumi telah diberikan sedikit penambahan ketinggian serta penggunaan body cladding menyerlahkan lagi identiti crossover yang cuba ditampilkan.
Bampar dan gril turut diberikan penambahbaikan dengan rekaan serba baharu bagi memberikan kelainan terhadap XL7 ini berbanding model Ertga sedia ada. Begitu juga dengan pemasangan rail bumbung yang memudahkan pemilik untuk membawa muatan yang lebih di bahagian atas. Ternyata perubahan kosmetik sebegini berupaya untuk menarik perhatian pembeli yang inginkan sedikit kelainan. Ternyata inilah dia resepi yang utuh bagaimana untuk menjual kenderaan di sana. Resepi yang sama juga pernah digunakan pembuat yang lain seperti Toyota yang mempertaruhkan model Avanza dan juga Veloz.
Dan untuk model terakhir, Suzuki XL Alpha FF adalah model tingkat taraf terhadap model XL7 sedia ada. Seperti biasa, hanya beberapa perubahan kecil telah diberikan bagi memastikan model crossover ini akan tetap dipandang pembeli. Apatah lagi untuk bersaing dalam model model sekelasnya seperti Xpander yang diakui cukup lawa dipandangan mata.
Model ini telah diberikan penetelitian yang lebih terperinci seperti penggunaan tempat duduk yang dibalut kulit yang disulami dengan benang merah bagi menampilkan sedikit kelainan. Suzuki XL Alpha FF ini juga telah dilengkapi dengan sistem bunyi daripada Subwoofer Soundstream 10 inci dan juga DSP Soundstream CH bagi menghiburkan halwa telinga.
Nah, untuk soal harga, model standard Ertiga dijual pada harga Rp. 224,100,00 (RM67,650), model Ertiga Suzuki Sport Rp. 269,600,000 (RM81,386). Manakala model Suzuki XL7 dijual pada harga Rp. 251,800,000 (RM76,012) dan model Suzuki XL7 Alpha FF pada harga Rp. 294,200,000 (RM88,812).
BACA : SUZUKI ERTIGA 2018 BERSEDIA UNTUK DILANCARKAN DI INDIA
BACA : TOYOTA REBADGE SUZUKI ERTIGA JADI RUMION DI AFRIKA SELATAN. BERMULA RM68K