
SUZUKI DEDAH MODEL KONSEP eVX DI GIIAS 2024
Suzuki Indonesia membawakan kereta elektrik konsep eVX ke acara GIIAS 2024, menjadikan ia sebagai penampilan pertama di Asia Tenggara.
Kemunculan konsep kenderaan mesra alam ini turut dilengkapkan dengan pelbagai barisan model kereta Suzuki yang kini popular di pasaran automotif domestik.
“Suzuki sedang membangunkan pelbagai penyelesaian neutral karbon yang unik untuk industri automotif global, salah satunya melalui pembangunan kenderaan elektrik berasaskan bateri (BEV),” ujar Presiden Direktur PT Suzuki Indomobil Sales, Minoru Amano.
“Sebagai sebahagian daripada strategi global Suzuki, kami membawa, menunjukkan dan memperkenalkan konsep kereta elektrik eVX kepada orang ramai di Indonesia, sebagai rujukan jawapan Suzuki pada masa hadapan terhadap cabaran neutraliti karbon,” tambahnya.

eVX adalah konsep kereta elektrik pertama daripada Suzuki sebagai kenderaan mesra alam dalam bentuk SUV untuk dipandu di dalam serta di luar jalan.
Gaya SUV yang dibawa oleh eVX itu didakwa sebagai tindak balas Suzuki terhadap cadangan daripada ramai pelanggan di pasaran global.
Tema dibawa oleh eVX ialah High-tech x Adventure, iaitu gabungan teknologi tinggi dengan siluet SUV yang kukuh.
Pembangunan yang sedang dijalankan ketika ini bertujuan memastikan Suzuki BEV dapat berjalan dengan kuasa penuh bukan sahaja di kawasan bandar tetapi juga di medan off-road.
Model berkenaan mempunyai dimensi 4,300mm panjang, 1,800mm lebar dan 1,800mm tinggi.
Selain itu, eVX akan dilengkapi dengan sistem pacuan roda ALLGRIP 4WD EV terbaru, merupakan evolusi khas untuk kereta elektrik daripada sistem yang telah dibangunkan oleh Suzuki pada masa lalu.
Secara lebih terperinci, konsep kereta elektrik didatangkan dengan jarak gerak sehingga 500km.
- BACA: PENGELUAR KERETA BOLEH BAWA MASUK LEBIH BANYAK MODEL EV UNTUK PEMASANGAN TEMPATAN
- BACA: CFMOTO DEDAH PROTOTAIP 250SR-R – DENGAN ENJIN ’270-DEGREE CRANK’
- BACA: CST TIRES LANCAR TAYAR KHAS UNTUK EV – SALEKS E·X1, TAWAR KETAHANAN DAN PRESTASI LUAR BIASA
- BACA: LEXUS RZ 450e KINI DI PASARAN MALAYSIA – JANA 313HP, JARAK GERAK 440KM, HARGA RM429K

