Motosikal

CFMOTO DEDAH PROTOTAIP 250SR-R – DENGAN ENJIN ’270-DEGREE CRANK’

Baru-baru ini telah berlangsungnya program tahunan, CFMOTO DAY  di Litar Antarabangsa Zhejiang, China. 

Program tersebut bukan sahaja dihadiri peminat CFMoto diseluruh dunia malah turut dihadiri pengamal media tempatan dan antarabangsa. Kami difahamkan beberapa pengedar dari Malaysia turut memeriahkan acara tersebut kali ini.

Ketika acara berlangsung, CFMOTO turut melancarkan 500SR VOOM dan 675SR-R yang bakal menembusi pasaran global termasuk di Malaysia. 

Bagaimanapun, tumpuan turut terarah kepada sebuah model prototaip jenis ‘sportsbike’ yang didedahkan CFMOTO. 

Menurut pengeluar motosikal China itu, model tersebut dinamakan 250SR-R dan merupakan motosikal bersesaran 250cc pertama dunia yang dikuasakan enjin dua silinder dengan konfigurasi ‘270-degree crank’. 

Terma ‘270-degree crank’ semakin kerap didengari namun apakah maksud sebenar disebalik kenyataan tersebut? Atas kertas, ’270-degree crank’ merujuk kepada senario apabila piston pertama mencapai TDC (top dead centre), crankshaft perlu berputar sebanyak 270-darjah sebelum berlaku letupan pada piston kedua. 

Ada penjelasan yang lebih teknikal mengenai ‘270-degree crank’ ini namun rata-rata penunggang akan memfokuskan karakter enjin yang dihasilkan. Ini kerana enjin dengan konfigurasi ‘270-degree crank’ akan menghasilkan bunyi ala enjin V-Twin. 

CFMOTO dalam satu kenyataan juga memaklumkan platform baharu itu menghasilkan daya pecutan dan ‘top speed’ yang lebih baik. Difahamkan, enjin tersebut dibangunkan bersama pasukan CFMOTO Aspar Team.

Buat masa ini tiada maklumat terperinci didedahkan namun kami jangkakan 250SR-R ini akan membuat kemunculan rasmi lewat 2025. 

Google ads
Back to top button