
SUZUKI GIXXER 250 DAN GIXXER SF250 KINI TIBA DI PASARAN MALAYSIA – 26.7HP, HARGA BERMULA RM14.5K
Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. baru-baru ini secara rasmi melancarkan jentera terbaru Suzuki GIXXER 250 dan GIXXER SF250 untuk pasaran tempatan.
Suzuki GIXXER 250 dan GIXXER SF250 berkongsi spesifikasi enjin silinder tunggal bersesaran 249cc SOHC, berupaya menghamburkan kuasa 26.7hp pada 9,300rpm dan 22.2Nm pada 7,300rpm.
Selain dilengkapi teknologi Suzuki Eco Performance (SEP), Suzuki turut menambah ciri inovatif utama GIXXER iaitu sistem penyejukan minyak Suzuki Oil Cooling System (SOCS).

Maka, tidak menghairankan apabila enjin model GIXXER ini menerima pentauliahan sebagai Kenderaan Cekap Tenaga Malaysia atau Energy Efficient Vehicle (EEV).
Dengan kapasiti tangki minyak 12 liter, motosikal ini mampu mengembara sehingga 400km dengan hanya satu isian tangki penuh.
GIXXER turut dilengkapi dengan ciri brek keselamatan ABS, transmisi 6-kelajuan, kawalan kendalian yang kemas serta fleksibel menjadikannya pilihan sesuai untuk kegunaan harian di bandar dan perjalanan jauh.
Kedua-dua jentera ini juga disertakan bersama Suzuki’s Easy Start System untuk kemudahan menghidupkan enjin motor buat penggunanya.

Walaupun kedua-dua model ini berkongsi kecekapan kuasa enjin, terdapat perbezaan jelas di dalam penyesuaian rekaan bentuk dan pemadanan ergonomik oleh Suzuki.
GIXXER SF250 dipadankan dengan reka bentuk sisi berfairing penuh yang lebih garang serta bercirikan kendalian perlumbaan, manakala GIXXER 250 pula mengambil pendekatan rekabentuk tempat duduk lebih tegak dan sisi terbuka.
Bukan itu sahaja, Suzuki turut melengkapkan GIXXER kali ini dengan identiti trend ranggi seperti muffler ekzos dua saluran dengan kemasan krom, roda aloi sepenuhnya dengan jaluran grafik serta madgad penutup tayar belakang.

Perincian lain bagi GIXXER 250 termasuklah didatangkan dengan reka bentuk lampu hadapan LED separa-oval yang futuristik, manakala GIXXER SF250 hadir dengan rekabentuk lampu hadapan LED paruh-ultra aerodinamik.
Bakal menarik perhatian pemilik lesen B2 di Malaysia, kedua-dua jentera ini dipasarkan di Malaysia sebagai unit pemasangan Complete Knock-Down (CKD).
GIXXER 250 boleh didapati dalam dua pilihan warna iaitu:
- Metallic Met Stellar Blue
- Metallic Matte Black No. 2
Pilihan warna bagi GIXXER SF250:
- Metallic Sonic Silver/Metallic Triton Blue (Edisi GP)
- Metallic Matte Black No. 2.
Untuk harga, kedua-dua varian warna GIXXER 250 ditawarkan dengan harga RM14,500.00 manakala, GIXXER SF250 dengan warna Metallic Matte Black No. 2 diberi tanda harga RM15,200.00.
Sementara, GIXXER SF250 dalam versi Metallic Sonic Silver/Metallic Triton Blue (Edisi GP) boleh dimiliki pada harga RM15,500.00.
Untuk makluman, harga-harga yang dinyatakan di atas adalah tidak termasuk pendaftaran, insurans dan cukai jalan.
GALERI













- BACA: SUZUKI MALAYSIA LANCAR SKUTER MAXI BURGMAN 400. BERMULA RM46K
- BACA: SUZUKI HAYABUSA 25TH ANNIVERSARY EDITION TIBA DI MALAYSIA – 187HP, HARGA BERMULA RM115K
- BACA: SUZUKI PAMER SUZUKI BURGMAN BERKUASA HIDROGEN DI JAPAN MOBILITY SHOW 2023
- BACA: SUZUKI RAIDER R150Fi 2023 TIBA DENGAN DUA WARNA BAHARU, HARGA BERMULA RM8.8K






