SUZUKI MALAYSIA LANCAR SKUTER MAXI BURGMAN 400. BERMULA RM46K
Sejak diperkenalkan di peringkat global pada tahun 1998, Burgman 400 2022 telah menerima pelbagai kemas kini bagi mengukuhkan lagi kedudukannya dalam pasaran skuter. Sehingga kini, lebih 760,000 unit Burgman 400 telah terjual di seluruh dunia.
Burgman 400 yang ditawarkan pada harga RM45,999 (tidak termasuk insurans dan pendaftaran) hadir dalam warna perak metalik.
Rekaan “Burgman Coupe” menawarkan fungsi yang amat dihargai oleh penunggang. Ini termasuklah rekaan badan yang ramping bagi memudahkan pengendalian di bandar dan menyelinap di ruang sempit.
Ruang hadapan menampilkan lampu LED berkembar, lampu posisi LED terintegrasi dan lampu isyarat membelok yang diposisikan di bawah. Bahagian belakang pula menempatkan lampu kombinasi LED dan lampu membelok pada hujungnya.
Burgman 400 dijana oleh enjin empat lejang silinder tunggal, DOHC, sejukan cecair bersesaran 400cc berkuasa 29.2PS dan tork 35.2Nm.
Dibantu oleh sistem pancitan bahan api, enjin tersebut mampu menawarkan kuasa tork yang seimbang dalam julat kelajuan rendah dan sederhana, selain kawalan pendikit yang dipertingkatkan.
Ia turut menawarkan pengalaman tunggangan yang lebih sofistikated pada kelajuan tinggi di lebuh raya. Terima kasih kepada komponen enjin yang telah disemak semula seperti kepala silinder, omboh, penyuntik serta kebuk pembakaran yang dioptimumkan.
Teknologi baharu Suzuki Dual Spark Technology pula menambah bilangan palam pencucuh kepada dua unit bagi meningkatkan tahap kecekapan pembakaran, mengurangkan kadar penggunaan bahan api dan mencapai output kuasa yang lebih stabil.
Hasilnya, Burgman 400 membolehkan penunggang menikmati kuasa pecutan yang padu pada kelajuan pertengahan (90 km/j) hingga 120 km/j. Tidak kira sama ada menunggang sendirian atau membawa pembonceng.
Manakala bacaan penggunaan bahan api purata ialah empat liter untuk setiap 100km.
Suzuki Burgman 400 turut didatangkan dengan sistem kawalan cengkaman (traction control) yang mampu mengurangkan kesan gelinciran ketika memulakan tunggangan apabila pendikit dipulas penuh. Di samping mengurangkan putaran roda di atas jalan yang licin dan tidak rata.
Tidak kira apa jua permukaan yang ditempuh seperti aspal basah mahupun jalan berbatu, sistem kawalan cengkaman ini menawarkan ketenangan minda kepada penunggang, serta keupayaan ‘memegang jalan’ yang cemerlang.
Pelana bertingkat itu terdiri daripada kusyen setebal 78.5 mm untuk memberi keselesaan kepada penunggang dan pembonceng. Tempat rehat belakang penunggang boleh dilaraskan ke depan sebanyak 15mm atau 30mm untuk memberikan sokongan tambahan.
Burgman 400 menyediakan ruang kargo seluas 42 liter untuk memuatkan dua buah topi keledar (satu full face dan demi-jet) atau barangan keperluan tunggangan yang lain.
Terdapat dua ruang storan hadapan bersaiz 2.8 liter dan 3.5 liter, bersama outlet kuasa DC 12V untuk pengecasan peranti pintar.
Sistem suspensi terdiri daripada jenis teleskopik 41mm yang membenarkan jarak pergerakan roda sebanyak 110 mm di hadapan. Manakala roda belakang pula menggunakan penyerap hentak tunggal link-type unik dengan larasan spring tujuh cara.
Roda hadapan bersaiz 15 inci nyata menawarkan perasaan kestabilan. Sistem brek ABS terdiri daripada rotor berkembar 260mm di hadapan dan rotor brek belakang 210mm di belakang.
Burgman 400 sudah boleh didapati di semua pusat pameran Suzuki di seluruh negara. Ia didatangkan dengan jaminan selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000km. Maklumat lanjut, sila layari www.suzuki.com.my atau emel ke [email protected]
- BACA: SUZUKI HAYABUSA 2022 DIPERKENAL, WARNA PUTIH TENANG UNTUK MOTOSIKAL LAJU!
- BACA: HONDA, YAMAHA, KAWASAKI & SUZUKI BEKERJASAMA HASILKAN SISTEM PENUKARAN BATERI UNTUK MOTOSIKAL ELEKTRIK
- BACA: PASARAN BELUM BERSEDIA UNTUK MOTOSIKAL ELEKTRIK, SUZUKI TAK MAHU BUAT LAGI
- BACA: LELAKI INI UBAHSUAI MOTOSIKAL 150CC JADI SEBUAH SUZUKI HAYABUSA – DAN IA NAMPAK ASLI!