Motosikal

SUZUKI GIXXER 250 LANCAR MAC HADAPAN

Khabar mengenai kehadiran pesaing kepada Kawasaki Ninja 250 dan Honda CBR250R semakin rancak diperkatakan. Motosikal Suzuki Gixxer 250 (GSX-R250) itu bakal dilancarkan Mac hadapan di India.

Suzuki-gixxer-250-mekanika

Berita berkenaan semakin bertiup kencang apabila sebuah majalah di Jepun, Young Machine mendedahkan dua imej model Suzuki GSX-R1000 dan GSX-R250 pada muka hadapan.

Terkini, laporan portal pemotoran India menyatakan Gixxer 250 akan melakukan debut  di New Delhi Auto Expo 2016 sekitar  Februari.

Menerusi gambar yang didedahkan oleh Young Machine, penampilan jentera 250cc itu sedikit sebanyak meniru imej GSX-R1000.

Berdasarkan laporan portal Zigwheels, sumber mereka menyatakan Suzuki Gixxer 250 akan dilengkapi enjin satu silinder 250cc. Enjin baharu berkenaan dibangunkan di India di bawah seliaan jurutera dari ibu pejabat Suzuki Jepun.

Sementara kuasa yang bakal dihasilkan dianggarkan sekitar 25 hingga 28PS. Penghantaran kuasa ke roda belakang dilakukan oleh kotak gear 6-kelajuan.

Tugas menghentikan jentera diserahkan kepada brek cakera di hadapan dan belakang. Difahamkan, Gixxer 250 akan menggunakan suspensi telekopik di hadapan dan monoshock di belakang.

Untuk melihat bagaimanakah penampilan model berkenaan, tunggu sahaja Februari 2016 apabila ia dipamerkan di New Delhi Auto Expo.

Lebih menarik sekiranya Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. (SAM) turut merancang membawa masuk model tersebut. Hal ini kerana, Mekanika pernah bertanyakan tentang kemasukan model 250cc kepada Suzuki.

Menurut Pengarah Urusan SAM, Toru Kobayashi, beliau ada merancang untuk membawa masuk model 250cc ke pasaran Malaysia sekitar penghujung 2015.

Tetapi, ia masih belum berlaku. Siapa tahu mungkin Gixxer 250 bakal menjengah pasaran Malaysia tahun hadapan. Sama-sama kita nantikan. Pada masa yang sama, Mekanika akan cuba  merisik dengan pihak SAM sekali lagi tahun hadapan.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button